Jumaat, 31 Mac 2017

N. Sembilan juara Piala FA

ARKIB : 01/06/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
 
BARISAN pemain dan pegawai skuad Negeri Sembilan meraikan kejayaan meraih Piala FA 2003 selepas menewaskan Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

JARINGAN emas pemain import dari Brazil, Everson Martinelli pada minit ke-95 dalam aksi sudden-death memastikan Negeri Sembilan mencatat sejarah apabila menjulang Piala FA 2003 buat pertama kali selepas menewaskan Perlis 2-1 dalam perlawanan akhir yang sengit di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Bagaimanapun, sebelum itu, Negeri Sembilan terpaksa bekerja keras dalam 90 minit permainan untuk menyamakan kedudukan selepas Perlis mengejutkan pasukan berkenaan dengan mendahului 1-0 pada minit ke-11.

Lim Chang Yew menyelamatkan Negeri Sembilan selepas menghasilkan gol penyamaan Effendi Malik pada minit ke-56 untuk mengheret permainan ke penentuan sudden-death yang menyaksikan skuad Rusa itu cuma mengambil masa lima minit bagi menamatkan aksi dengan kemenangan penuh bergaya daripada Martinelli, hasil gerakan cantik K. Rajan.

Rajan membuat larian cantik di bahagian sayap sebelum melakukan hantaran cantik ke depan pintu gol untuk Martinelli yang dalam keadaan terbaring masih mampu menyepak ke dalam gawang Singa Utara.

Ini merupakan trofi pertama yang berjaya diraih Negeri Sembilan dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia.

Kejayaan menjulang Piala FA memastikannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000. Skuad Hoben Jang Hoben hampir menjulang Piala Malaysia pada tahun 2000 tetapi tumpas kepada Perak dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Sementara bagi jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan, ini merupakan kejayaan keduanya setelah membawa skuad remaja Negeri Sembilan muncul juara Piala Presiden tahun lepas.

Bermula perlahan, Negeri Sembilan bangkit pada akhir babak pertama untuk mengimbangi serangan lawan yang kelihatan begitu garang sebaik sahaja sepak mula.

Perlis pula menerkam garang sejak awal babak untuk menguasai pertarungan dan menjadikan permainan babak pertama berat sebelah.

Kepantasan dan pengalaman pengantin baru, Tengku Hazman Raja Hassan serta Rosle Md. Derus menjadikan pergerakan skuad bimbingan Norizan Bakar begitu lancar menghalakan serangan ke kubu skuad Rusa.

Pemain import dari Zambia, Chipeta sentiasa sahaja merobek kubu pertahanan Rusa, yang diterajui oleh pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah.

Pada minit kelapan, Chipeta memerangkap pertahanan lawan hanya untuk menyaksikan hantaran lambungnya disia-siakan oleh pemain berpengalaman, Anuar Jusoh dengan sepakan tingginya.

Tetapi, empat minit kemudian Chipeta mendapat peluang yang baik dan menerpa untuk menolak masuk gol pembukaan. Jaringan berpunca daripada sepakan percuma Rosle Md. Derus yang ditampan oleh Azlisham Ibrahim tetapi bola terkena tiang dan memerlukan kuisan perlahan Chipeta untuk gol pertama.

Asakan yang dilakukan oleh Perlis jelas menyukarkan anak-anak buah Devan untuk menemui rentak. Hanya ketika permainan babak pertama berbaki 10 minit barulah mereka perlahan-lahan membina gerakan lebih kemas.

Wakil Perdana Dua itu makin ghairah selepas perlawanan disambung, menjadikan perlawanan mula seimbang dan berubah menjadi rancak.

Selepas beberapa kali memerangkap barisan pertahanan Perlis, Effendi Malek tidak mampu untuk melepaskan peluang terbuka pada minit ke-56 dengan tolakan mudah menewaskan penjaga gol Perlis, Amran Omar setelah menerima hantaran Luciano Osmar Gonzales.

Permainan tiba-tiba berubah, dikuasai oleh Negeri Sembilan yang beberapa kali menyaksikan percubaan pemain-pemainnya tersasar manakala Perlis seperti patah taring untuk merobek lawan.

Ketika permainan tinggal lapan minit, Azman Adnan yang masuk menggantikan Mohd. Aiman Wong seperti kehilangan idea apabila lambat bertindak untuk melepasi pertahanan lawan setelah menerima hantaran Syaiful Sabtu.

Pada minit ketiga masa tambahan sudden death, Chipeta nyaris memberikan kemenangan kepada pasukannya tetapi sepakannya dari sebelah kanan gol terkena palang dan melantun keluar selepas menerima hantaran jauh ketua pasukan, Muhammad Khaironisam Sahabuddin.

Rupanya, kemenangan ingin menyebelahi Negeri Sembilan apabila pemain dari Brazil, Martinelli menyepak masuk gol kemenangan dalam keadaan dirinya terbaring di atas padang setelah peluang dibuka oleh pemain kebangsaan, Rajan pada minit kelima masa tambahan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxlQBFAT© Utusan Melayu (M) Bhd

Lamime Conte Jr. janji julang Perlis



ARKIB : 30/05/2003
LAMIME Conte Jr., penyerang baru yang bakal beraksi dengan skuad Perlis dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan pada Sabtu ini, berjanji akan memberi persembahan yang terbaik bagi membantu Singa Utara.

Khidmat pemain bertubuh tegap berusia 27 tahun itu diperlukan untuk mengganti penyerang import Zambia, Kelvin Musungu yang disahkan tidak dapat bermain pada perlawanan akhir itu nanti akibat kecederaan serius pada lutut kanannya.

Conte Jr. ketika dihubungi di Kangar semalam memberitahu, dia akan cuba membalas kepercayaan yang diberikan oleh pengurus dan jurulatih Perlis yang membolehkan dia beraksi untuk perlawanan penting itu.

``Mungkin peminat Perlis tidak pernah melihat aksi saya, tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu pasukan dalam perlawanan akhir itu nanti,'' katanya yang menganut agama Kristian dan tiba di Kangar sejak sebulan lalu.

Bekas pemain tengah kebangsaan Sierra Leone itu pernah beraksi selama empat tahun dengan kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Wahda sejak 1998 sehingga tahun lalu dan membantu kelab itu memenangi empat kejuaraan.

``Pasukan Al-Wahda pernah menjuarai empat kejohanan iaitu Piala Presiden, Piala FA dan dua kali sebagai juara liga,'' ujar beliau.

Sejak sebulan lalu, Conte Jr. telah menyertai latihan bersama pemain pasukan Perlis lain dan dia menjangkakan tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan itu.

Sementara itu, Chipieta, 22, ayam tambatan Perlis berharap semua pemain akan memberikan persembahan yang terbaik untuk sama-sama berjuang dalam perlawanan akhir itu nanti.

Katanya, biarlah Perlis dianggap sebagai pasukan bukan pilihan dan pihaknya memandang tinggi keupayaan pasukan lawan yang dibarisi ramai bekas pemain kebangsaan dan Olimpik.

``Tidak perlulah kami mendabik dada berapa jaringan yang akan dibuat kerana perlawanan akhir masih belum berlangsung, dan diharap peminat akan memberi sokongan yang padu kepada Perlis,'' ujarnya merendah diri ketika dihubungi di Kangar, semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cxNWb1mJ© Utusan Melayu (M) Bhd

Aksi antara dua `darjat'



ARKIB : 30/05/2003
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN

PERLAWANAN akhir bola sepak Piala FA di antara Negeri Sembilan dan Perlis di Stadium Ipoh Perak, esok bakal menyaksikan pertembungan di antara dua pasukan yang memiliki perwatakan berbeza.

Pengalaman bakal menjadi sandaran buat skuad Rusa, yang dibarisi oleh beberapa bekas pemain kebangsaan yang sudah lali dengan tekanan beraksi dalam perlawanan akhir.

Azman Adnan, Aiman Wong, B. Rajinikandh, Azlisham Ibrahim, Anuar Jusoh dan Azrul Amri Borhan adalah sebahagian daripada pemain dalam pasukan Negeri Sembilan yang pernah digelar `Real Madrid' Liga Malaysia oleh sebuah akhbar tempatan.

Lawan mereka dari utara tanah air, Perlis dianggap sebagai barisan `adik-adik' kerana ditunjangi pemain-pemain muda yang bagaimanapun tidak boleh dipandang mudah.

Berbekalkan semangat dan ketahanan fizikal, skuad bimbingan Norizan Bakar itu merupakan salah satu pencabar utama dalam Perdana Satu ketika ini.

Dengan jentera tengah digerakkan oleh Tengku Hazman Raja Hassan yang akan membekalkan hantaran kepada penyerang import Phillemon Chipieta, Singa Utara itu mampu membaham si Rusa dalam perlawanan esok.

Bagaimanapun rata-rata jurulatih dan pengurus dalam Liga Malaysia ketika dihubungi menganggap perlawanan itu agak seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai kemampuan untuk bergelar juara.

Jurulatih Sabah, Justin Ganai berkata, kedua-dua pasukan mempunyai peluang setara dan tidak banyak yang membezakan kedua-duanya.

``Apa pun, saya fikir Negeri Sembilan mempunyai sedikit kelebihan dan mereka mungkin menang dengan jaringan tipis,'' kata Justin.

Jurulatih kebangsaan bagi skuad bawah 21, K. Rajagopal turut mempunyai tanggapan yang serupa.

``Peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50. Sukar untuk meramalkan pasukan mana yang akan muncul juara kerana kedua-duanya akan bermain bermati-matian.

``Tetapi, saya percaya Negeri Sembilan mempunyai kelebihan dari segi pengalaman,'' katanya.

Mat Zan Mat Aris, jurulatih pasukan Telekom Melaka berkata, setiap pasukan yang layak ke perlawanan akhir mempunyai kemampuan tersendiri dan meramalkan perlawanan sengit malam esok.

``Susah untuk membuat ramalan kerana kedua-duanya ada kelebihan,'' katanya.

Pengurus pasukan Kuala Lumpur, Datuk Hilmi Ismail pula berkata, skuad Singa Utara mempunyai peluang lebih cerah berdasarkan persembahan konsisten dalam saingan Perdana Satu.

``Perlis bermain bermain dalam Perdana Satu dan pernah berdepan dengan pasukan yang lebih kuat. Saya meramalkan mereka mungkin menang dengan jaringan 2-1,'' katanya.

Jurulatih Sarawak, Jalil Ramli pula bersifat terbuka dan menganggap pasukan yang kurang membuat kesilapan akan muncul juara.

``Dalam perlawanan akhir pasukan yang dapat menyesuaikan diri lebih awal dengan permainan dan kurang melakukan kesilapan akan bergelar juara.

``Saya memilih Perlis untuk menang dengan jaringan 1-0,'' katanya.

Pengurus Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor, Redzuan Sintol berkata: ``Negeri Sembilan mempunyai ramai pemain yang pernah beraksi dalam perlawanan akhir berbanding pasukan muda Perlis. Saya menjangkakan Negeri Sembilan akan menang dengan jaringan 3-1.''

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxKawDy1
© Utusan Melayu (M) Bhd