ARKIB :
12/01/1998
ANAK JATI...
Bakri Ibni dijangka mengambil alih kerusi panas yang ditinggalkan oleh Abdul
Rahman Ibrahim sebagai jurulatih Perlis.
BEKAS pemain
kebangsaan dan ketua pasukan Perlis, Bakri Ibni dijangka akan mengambil alih
tugas Abdul Rahman Ibrahim selaku jurulatih skuad Singa Utara menjelang liga
musim baru tahun ini.
Bakri yang
pernah menerajui skuad berkenaan sehingga mencapai era kegemilangan dilaporkan
sudah dihubungi oleh pegawai Persatuan Bola Sepak Perlis untuk memimpin pasukan
berkenaan.
Beliau yang
merupakan antara pemain terbaik barisan tengah negara pada era kegemilangannya
dilihat sebagai calon terbaik untuk meneruskan perjuangan skuad Singa Utara.
Pemilihan Bakri
untuk membawa cabaran Perlis dianggap kena pada tempatnya kerana rekod dahulu
membuktikan beliau mampu meneruskan kegemilangan skuad berkenaan.
Beliau pernah
menjadi pemain dan jurulatih pada satu masa untuk pasukan Perlis pada awal 80-an
dan berjaya menaikkan nama pasukan berkenaan sehingga digelar Singa Utara.
Malah zamannya
bersama Saidin Osman dan Ibrahim Saad membuatkan lawan mereka digeruni apabila
berhadapan dengan pasukan berkenaan.
Bakri yang
mempunyai lesen A dari England masih lagi aktif dengan bola sepak dan kini
berada di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun
difahamkan PFA sedang merujuk lesen A yang diperolehi oleh Bakri di England
kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sama ada layak untuk menjadi
jurulatih pasukan Perlis.
Namun Bakri akan
bertindak sebagai pengarah kejurulatihan terlebih dahulu sekiranya lesen A yang
ada tidak membolehkannya bertindak sebagai jurulatih.
Apa pun
peperiksaan untuk lesen A oleh FAM dijangka dijalankan pada Mac ini dan Bakri
dikira sempat untuk berbuat demikian bagi mengemudi skuad Perlis tahun ini.
Buat sementara
waktu tugas melatih pasukan Perlis akan dipikul oleh penolong jurulatih, Norizan
Bakar yang sudah memliliki lesen A daripada FAM, buat sementara waktu.
Pemilihan Bakri
sebagai jurulatih Perlis pasti akan disambut dengan hati terbuka memandangkan
pengalaman luas dalam arena bola sepak.
Malah jika ini
berlaku, tampuk jurulatih Perlis akan kembali dipikul oleh anak jati setelah
sekian lama dipegang orang luar.
Bagaimanapun
selain Bakri, bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Hassan dan bekas jurulatih
Kedah, Mostakeen Omar turut dikaitkan dengan skuad berkenaan.
Sumber-Artikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FExrccnT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan