ARKIB : 03/03/1999
JURULATIH Perlis, Tajudin Nor
perlu mencari ilham yang lebih berkesan bagi menajamkan taring skuad Singa
Utara sebagai persediaan untuk berhadapan dengan musuh dalam perlawanan Liga
Malaysia dan Piala FA yang semakin hampir.
Kekalahan berturut-turut dalam
empat perlawanan persahabatan sebelum ini meresahkan para peminat bola sepak
apabila anak-anak didik bekas jurulatih Pahang itu gagal beraksi cemerlang
seperti yang diharapkan.
Perlis tewas menentang Pulau
Pinang di Stadium Bandaraya 0-2 manakala tiga kekalahan lagi di Stadium Utama
Kangar ketika berhadapan Negeri Sembilan 0-1, Kelab Home United dari Singapura
3-4 dan sekali lagi kepada Pulau Pinang 1-2.
Walaupun perlawanan
persahabatan itu sekadar untuk menguji kecergasan pemain dan bukan mengejar
kemenangan tetapi kekalahan berturut-turut itu menunjukkan masih banyak
kelemahan yang perlu diperbaiki segera oleh Tajudin Nor dan penolong jurulatih
Mohd. Ali Osman.
Kelemahan yang paling ketara
dalam skuad Singa Utara itu dalam keempat-empat perlawanan persahabatan itu
ialah pemain di barisan serangan apabila dilihat masih terkapai-kapai di
hadapan gawang lawan.
Pemain di bahagian serangan
seperti Fuad Mohd. Noor, Mohd. Nazreen Tee, Hairil Zamri Rashid dan Ku Hasnol
Farid Ku Abdul Rahman perlu bekerja keras dan meningkatkan latihan untuk
memastikan mereka mampu membuat sentuhan berbisa dalam perlawanan Liga Malaysia
dan Fiala FA nanti.
Tajudin perlu mencari formula dan
adunan baru untuk memperbaiki kelemahan yang agak ketara di bahagian serangan
itu.
Sementara itu, gandingan di
bahagian tengah yang membariskan pemain tengah kebangsaan, Yusri Che Lah, Mohd.
Nazaruddin Mohd. Zain, Rozmin Musa, Sabri Rani dan V. Yogeswaran masih perlu
mencari keserasian apabila mereka masih gagal mengawal dan mengumpan kemas bola
ke arah kawan masing-masing.
Bagaimanapun, Tajudin agak
boleh menarik nafas lega apabila memikirkan tugas untuk memperkemaskan bahagian
pertahanan kerana pemain-pemain di posisi itu didapati lebih mantap.
Barisan pemain pertahanan
diketuai Suhairi Abd. Karim, Amali Amir, Mohamad Shukrin Md. Saad dan M. Balan
begitu kukuh mengawal lawan mereka.
Perlis akan menentang Tentera
pada pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Utama Kangar pada 9 Mac ini
dan pusingan kedua di Kuala Lumpur pada 16 Mac.
Sebelum itu pada 5 Mac, Perlis
akan bertemu dengan Kedah bagi merebut Piala Dunhill di Stadium Darulaman, Alor
Setar dan perlawanan kedua di Stadium Utama Kangar pada 12 Mac.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Q4QcYX79
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan