ARKIB : 11/01/2003
PEMAIN-PEMAIN Perlis menjalani
latihan kecergasan di Stadium Utama Kangar semalam. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL
ABIDIN.
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
PERSEMBAHAN terbaik dan muncul
sebagai pasukan yang disegani menjadi dua sasaran utama Perlis bagi menghadapi
musim baru bola sepak Liga Perdana yang dijadual bermula 8 Februari ini.
Presiden Persatuan Bolasepak
Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau percaya dengan adunan
tenaga pemain muda dan lama, pasukan itu mampu menghasilkan pencapaian terbaik
musim ini.
Katanya, para pemain seharusnya
bersedia untuk mengatasi pencapaian mereka musim lalu apabila gagal melayakkkan
diri dalam saingan Piala Malaysia.
``Mereka harus bersedia dan
menampilkan persembahan yang lebih baik berbanding musim lalu. Persembahan
buruk hanya mengundang cemuhan peminat,'' katanya.
Shahidan yang juga Menteri Besar
Perlis berkata demikian pada majlis menandatangani kontrak pemain pasukan itu
bagi musim 2003 di Kuala Perlis, kelmarin.
Pada majlis itu, seramai 25
pemain termasuk ketua pasukan kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan yang beraksi
dalam Piala Tiger baru-baru ini menandatangani kontrak untuk mewakili Perlis.
Selain Tengku Hazman, 26, Perlis
membariskan gabungan pemain lama dan baru termasuk Mohd. Khaironnisam Sahabudin
Hussain, Hairil Zamri Abdul Rashid, Mohd. Feriza Ismail, Cik Zambil Ahmad,
Adrien Jurad Chamrong, Rafiz Abu Bakar dan Rosli Md. Derus.
Turut mewakili Perlis musim ini
termasuklah bekas pemain kebangsaan Zambia, Phillimon Chipieta, 22, yang akan
menguatkan lagi jentera serangan pasukan Singa Utara itu.
Beberapa muka baru yang mewakili
skuad Piala Presiden Perlis turut tersenarai.
Mereka ialah Abdul Hafif Abdul
Nasir, Azizi Mat Rose, Khairul Amir Hamid, Amirul Jufri Abdul Jalil, Azi
Shahril Azmi dan Syed Amir Shaffiq Syed Zainal Abidin.
Sementara itu, Shahidan
mengumumkan barisan pengurusan skuad Perlis untuk tahun ini.
Adzmi Saad akan bertindak selaku
pengurus dan beliau akan dibantu oleh Jamil Saad selaku penolong pengurus
sementara Norizan Bakar bertindak selaku ketua jurulatih.
Sementara itu, dalam ujian masa
yang adakan di Stadium Utama Kangar semalam, kesemua 25 pemain skuad itu
berjaya melepasi ujian masa kecergasan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM).
Norizan berkata, kesemua pemain
berjaya mencatatkan larian sejauh 2.8 kilometer dalam tempoh 12 minit
sebagaimana yang disyaratkan oleh FAM.
``Bermula hari ini sehingga 22
Januari, Perlis akan mengadakan perlawanan ujian menentang Telekom Malaysia,
Public Bank, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan Negeri Sembilan di
Kuala Lumpur dalam rangka memperkemaskan barisan skuad,'' kata beliau
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cUh9bAJE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan