Selasa, 28 Mac 2017

Perlis terus mendahului

ARKIB : 02/03/2003
PERLIS gagal mencari kemenangan berterusan apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah dalam perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Utama, Kangar, semalam.

Bagaimanapun, pasukan Singa Utara itu yang mengutip satu mata di gelanggang sendiri mendahului pasukan lain untuk menerajui carta liga dengan mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Turut berkongsi tujuh mata ialah Pulau Pinang yang seri 1-1 dengan Telekom Melaka di Stadium Hang Tuah tetapi berdasarkan kiraan jaringan, skuad Harimau Kumbang berada di tempat kedua.

Walaupun mendahului menerusi gol Hasmawi Hassan pada minit ke-26, penyerang import Telekom Melaka, Issac Kuffour menyempurnakan sepakan penalti minit ke-52 untuk menyamakan kedudukan.

Kedah pula turut mengutip satu mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Selangor di Stadium Darulaman.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Azizol Kamaluddin memastikan Pahang mengatasi Terengganu 1-0.

Azizol Kamaluddin yang mendapat hantaran Subri Sulong merembat gol minit ke-36 untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, Kelantan mengikat juara Perdana Satu musim lalu, Perak 1-1.

Penyerang sensasi Perak, Khalid Jamlus membuka tirai jaringan menerusi gol minit ke-45 sebelum Badrisan Abdul Kadir menyamakan kedudukan pada minit ke-70.

Di Stadium Sarawak, tuan rumah skuad Bujang senang mencipta kemenangan pertama dalam Liga Perdana Satu menerusi kemenangan 2-1 ke atas Johor FC.

Gol Sarawak dihasilkan Wong Sai Kong pada minit ke-2 dan Robert Eshun pada minit ke-64 manakala Johor FC merapatkan jurang menerusi gol Johnathan Ben Angelucci pada minit ke-52.

Sementara itu, dalam perlawanan Liga Perdana Dua, Selangor Public Bank mencatat kemenangan 6-2 ke atas Perak TKN di Stadium Selayang.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cdOBMe00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan