ARKIB : 05/07/2003
KEMENANGAN Melaka ke atas
Kelantan 2-1 Selasa lalu, menjadikan Perlis mengambil sikap lebih berhati-hati
dalam pertemuan menentang skuad Kancil dalam saingan bola sepak Perdana Satu di
Stadium Utama, Kangar, malam ini, lapor YUSRI SAHAT.
Meskipun Melaka merupakan antara
pasukan tercorot pada musim ini tetapi Perlis tidak mahu terlalu yakin untuk
menewaskan pasukan `kerdil' itu.
Perlis tetap menganggap Melaka
sebagai pencabar yang boleh menggugat peluang mereka untuk berada pada
kedudukan selesa jika para pemain mengambil sikap sambil lewa.
Penolong Pengurus pasukan, Adzmi
Saad berkata, misi menewaskan Melaka amat penting dalam usaha untuk memperoleh
tiga matu penuh jika Singa Utara mahu terus menjadi pencabar kepada dua pasukan
teratas.
Sehubungan itu, kata beliau,
kelebihan bermain di gelanggang sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh
Perlis dalam usaha melengkapkan misi untuk mengungguli Perdana Satu.
Beliau amat berharap agar
anak-anak buahnya dapat mengekalkan prestasi cemerlang ketika menewaskan
Selangor 4-1 di Shah Alam, Selasa lalu.
Harapan pastinya disandarkan
kepada penyerang berbisanya, Phillemon Chipieta dan Lamin Conteh Jr. yang mula
menunjukkan taringnya ketika bertemu Selangor, ujarnya.
``Kita mengharapkan para pemain
melakukan yang terbaik supaya rekod tanpa kalah sejak kebelakangan dapat
dikekalkan,'' katanya kepada Sukan Malaysia di Kangar, semalam.
Namun, kata Adzmi, Conteh Jr.
masih belum menunjukkan prestasi yang sebenarnya walaupun berjaya menjaringkan
satu gol pada pertemuan dengan Selangor.
Prestasi itu, jelas beliau, perlu
dipertingkatkan lagi bagi memastikan Perlis dapat memintas dua lagi pasukan di
atasnya iaitu Perak dan Kedah.
Sebarang kekalahan di akhir-akhir
musim ini, katanya, akan menjejaskan peluang Perlis untuk muncul sebagai juara
Perdana Satu.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d4zuIZY2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan