ARKIB : 07/01/2004
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
SHAHIDAN (kiri) menyambut
kehadiran pemain import yang baru untuk pasukan Liga Super negeri itu, Joao
Bandoch selepas majlis menandatangani kontrak di Kangar, semalam. - Gambar
NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.
PERLIS menyimpan azam cukup besar
sebaik memulakan musim baru bola sepak tanah air dengan mensasarkan tiga
kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Presiden Persatuan Bolasepak
Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keyakinan tersebut
berdasarkan persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh skuad Singa Utara itu
pada musim lalu sehingga hampir meraih gelaran Piala Liga, Piala FA dan Piala
Malaysia.
``Walaupun gagal meraih sebarang
piala pada tahun 2003, Singa Utara merupakan antara pasukan yang semakin
disegani lawan berikutan kejayaan layak ke separuh akhir Piala Malaysia, naib
juara Piala FA dan tempat ketiga Liga Perdana Satu.
``Saya berharap para pemain
Perlis tahun ini akan melakukan sesuatu bagi mencapai kejayaan memenangi
ketiga-tiga piala tersebut kerana kita hampir berjaya melakukannya musim lalu,
cuma nasib yang tidak menyebelahi kita,'' katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar
Perlis berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak
Pemain-Pemain Liga Super Perlis 2004 yang berlangsung di Kangar, kelmarin.
Turut hadir pada majlis itu ialah
Pengurus Pasukan Perlis, Adzmi Saad dan jurulatih pasukan Singa Utara, Norizan
Bakar.
Pada majlis itu seramai enam muka
baru menandatangani kontrak termasuk dua pemain import Essa Mvondo Basile
(Cameroon) dan Joao Bandoch (Brazil).
Sementara, seorang lagi pemain
import, iaitu tonggak musim lalu Phillimon Chipeta dari Zambia dijangka
menandatangani kontrak tidak lama lagi.
Mereka yang turut mengesahkan
untuk menyarung jersi Perlis ialah Yusri Che Lah (Perak), Zainuddin Ariffin dan
Manzoor Azwira Abdul Wahid (Kedah), Mohd. Khairi Zainuddin dan Mohd. Faizal
Esahar (Telekom Melaka), Es Lizuan Zahid Amir (Bumiputra Commerce) serta dua
pemain import baru iaitu
Pemain lain yang turut
menandatangani kontrak ialah Tengku Hazman Raja Hassan, Mohamad Kaironnisam
Shahabudin Hussein, Adrien Jurad Chamrong, Amran Omar, Mohd, Anis Faron Arsidi,
Mohd. Nazaruddin Zain, Rafiz Abu Bakar, Roslee Md. Derus, Feriza Ismail dan
Azizi Mat Rose.
Menurut Shahidan, pihaknya yakin
gandingan pemain baru dan lama yang membarisi skuad Perlis musim ini dilihat
mampu memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain yang bertanding seterusnya
mempamerkan aksi cemerlang untuk memartabatkan kejayaan pasukan itu tahun ini.
Selain Perlis, tujuh pasukan yang
akan bertanding dalam Liga Super 2004 bermula 15 Februari ini ialah Kedah,
Pulau Pinang, Perak, Pahang, Public Bank, Sabah dan Sarawak.
``Saya menyeru semua pemain
supaya membuktikan kemampuan mereka dalam kempen bola sepak tidak lama lagi
untuk menaikkan imej pasukan Perlis serta mengekalkan tahap persembahan ke
peringkat terbaik.
``Kejayaan Perlis bergantung
kepada sejauh mana persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain dan mereka
perlu ingat, bahawa setiap kejayaan yang dicapai oleh pasukan adalah hasil
pengorbanan mereka,'' jelasnya.
Shahidan turut mengingatkan para
pemain yang mengikat kontrak dengan Perlis supaya menjaga reputasi serta
personaliti mereka daripada melakukan kegiatan yang berunsur negatif yang boleh
merosakkan imej pasukan bola sepak negeri itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4djIYdg2V
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan