ARKIB : 19/02/2005
KUALA LUMPUR - Pertemuan dua
pasukan utara, Pulau Pinang dan Perlis di Stadium Bandaraya harus menjadi
bualan utama apabila aksi bola sepak Liga Super diteruskan malam ini.
Sebarang keputusan daripada
pertembungan dua pasukan teratas itu bakal menentukan siapa sebenarnya yang
berhak menguasai carta liga.
Sama ada Pulau Pinang
melebarkan kedudukan tangga teratas, atau Perlis merampas takhta yang dikuasai
skuad Harimau Kumbang sejak empat minggu lepas, malam ini adalah jawapannya.
Dua mata memisahkan kedua-dua
pasukan. Pulau Pinang berbangga dengan rekod tanpa kalah selepas empat
perlawanan untuk mengumpul maksimum 12 mata.
Perlis bagaimanapun sedikit
tercalar biarpun belum tewas, hanya seri sekali dan boleh bermegah dengan 10
mata.
Kejayaan menumbangkan Perak 1-0
minggu lepas memberikan satu lagi suntikan semangat buat barisan anak buah
Norizan Bakar untuk mengekalkan rekod baik mereka.
Norizan harus tidak meminta
keputusan lain selain daripada kemenangan untuk menjarakkan diri dengan pasukan
saingan, atau setidak-tidaknya mencuri satu mata daripada Perlis.
Begitupun, Norizan berdepan
kesukaran di bahagian depan dengan ketiadaan penjaring gol ke atas Perak minggu
lepas, Jose Barreto yang digantung perlawanan.
Pasukan kendalian bekas
jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim pula dikhabarkan sudah bersedia
untuk mencalarkan rekod cemerlang Pulau Pinang.
``Pulau Pinang akan tumbang di
gelanggang sendiri malam ini,'' mungkin itu bisik hati Menteri Besar Perlis,
Datuk Seri Shahidan Kassim yang bakal bersama penyokong setia skuad Singa Utara
ke Stadium Bandaraya untuk menyaksikan perlawanan itu.
Memori manis menumbangkan
pasukan pilihan yang juga juara bertahan, Pahang minggu lepas tanpa barisan
pemain utama, pasti mahu diulangi.
Perlis dilaporkan bakal
menurunkan barisan yang sama malam ini tanpa pemain tonggak, Yusri Che Lah,
Adrien Jurad Chamrong dan Rosle Md. Derus.
Yang jelas, ia menunjukkan
bahawa Perlis amat mengimpikan gelaran Liga Super, untuk menambah koleksi trofi
kemenangan selepas menjulang Piala Malaysia musim lepas.
Paling menarik dalam pertembungan
ini tentulah bagaimana percaturan Norizan, yang membawa Perlis menjulang Piala
Malaysia musim lalu, dengan Abdul Rahman yang mengendali bekas anak buah
Norizan.
Dalam aksi lain, Pahang
dijangka bangkit daripada igauan buruk tewas dua kali berturut-turut apabila
menentang Public Bank di Shah Alam.
Pasukan tangga ketiga, Telekom
Melaka pasti mahu terus mengekori rapat dua pasukan teratas, tidak harus
kehilangan tiga mata apabila melayan kunjungan Sabah di Stadium Hang Jebat.
Perak juga dijangka meraih mata
penuh di Ipoh daripada juara Piala Malaysia dua musim lepas, MPPJ yang belum
mencatat sebarang kemenangan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4huhP296x
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan