Jumaat, 26 Mei 2017

Peluang kekalkan cengkaman



ARKIB : 05/03/2005

KUALA LUMPUR - Juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis berupaya mengekalkan cengkaman sebagai pendahulu Liga Super bagi menutup tirai pusingan pertama yang akan dilabuh malam ini.

Selepas tersentak apabila dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Public Bank minggu lalu, Perlis sudah pasti tidak rela tunduk kepada Telekom, lawan yang akan ditemui oleh skuad Singa Utara malam ini di Stadium Hang Jebat.

Kemenangan yang bakal dipahat oleh anak didik Abdul Rahman Ibrahim boleh memastikan skuad Singa Utara mengekalkan cengkaman sebagai pendahulu ketika saingan terdekat Pahang berdepan tugas berat berdepan Perak manakala Pulau Pinang bertemu Public Bank.

Ini adalah peluang terbaik buat Perlis untuk menjarakkan diri ketika ini mereka sekadar dipisahkan dengan satu mata dengan Pahang dan Pulau Pinang yang menduduki tempat kedua dan ketiga.

Skuad Singa Utara kini memungut 13 mata sekadar manakala Pahang dan Pulau Pinang masing-masing dengan 12 mata.

Diekori pula oleh Telekom, Perak, Sabah, Public Bank dan MPPJ di tempat tercorot.

Pahang bakal berdepan tugas sulit berkunjung ke Stadium Perak berdepan dengan skuad Seladang yang kini terkial-kial mencari rentak untuk mengutip mata kemenangan.

Kegarangan skuad Tok Gajah terserlah selepas penyerangnya, Indra Putra Mahayuddin mencipta jaringan hatrik ketika membenam Telekom 3-0 di gelanggang sendiri minggu lalu.

Indra yang setakat ini telah menjaringkan lapan gol untuk mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Super sudah tentu perlu diawasi oleh benteng ampuh Perak.

Itu sekali gus memberi amaran kepada skuad Perak yang ketika ini menghadapi masalah jentera serangan yang kurang menyengat.

Seperti juga Pahang, saingan terdekat Pulau Pinang yang dikejutkan oleh MPPJ tunduk 1-2, tidak akan membiarkan pasukan berstatus kelab iaitu Public Bank mencalar rekod mereka.

Reputasi Public Bank tidak boleh dipandang rendah oleh Pulau Pinang selepas pasukan itu mengejutkan Perlis 0-1 di Kangar.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iBKinUt7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan