ARKIB : 03/02/2005
KANGAR - Keupayaan permata
hitam baru Perlis, Zacharia Simukonda menjaringkan tiga gol dalam dua
perlawanan pertama bola sepak Liga Super 2005 dilihat mampu memadamkan
kehebatan bekas penyerang Singa Utara yang juga rakan senegaranya, Phillemon
Chipeta yang kini tidak lagi bersama pasukan itu, lapor SUFFIAN ABU BAKAR.
Malah pemain tinggi lampai
berusia 26 tahun itu mengotakan janjinya sebelum ini untuk menjaringkan gol
kemenangan bagi membantu Perlis mengutip tiga mata penuh sewaktu pasukannya
menewaskan MPPJ Selangor 3-2 di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.
Gol Simukonda yang terhasil
tujuh minit sebelum perlawanan tamat membolehkan Perlis mencapai kemenangan pertama
selepas seri 2-2 dengan Perak dalam perlawanan akhir Piala Sumbangsih, pembuka
tirai liga itu Sabtu lalu.
Dia yang mula menyarung jersi
Perlis musim ini turut menjaringkan dua gol sewaktu menentang Perak tempohari
dan kini menjadi antara penjaring terbanyak liga dengan jumlah tiga gol selain
Keita Mandjou dari Perak.
``Satu kepuasan bagi saya
setelah berjaya menunaikan janji kepada peminat Perlis untuk menjaringkan gol
semalam, kerana yang paling penting kami dapat pulang dengan tiga mata.
``Namun kejayaan semalam bukan
disebabkan jaringan saya sahaja, sebaliknya ia hasil kerja keras semua pemain
Perlis yang lain walaupun kita dua kali ketinggalan kepada lawan,'' katanya
ketika dihubungi Sukan Utusan di Kangar, semalam.
MPPJ Selangor yang sebelum ini
tewas 3-2 kepada Pahang tampil dengan misi mengutip kemenangan pertama dan
seawal minit-13, bekas penyerang Telekom Melaka, Farid Dewan menjaringkan gol
pertama pasukan bimbingan Reduan Abdullah itu.
Penyerang lincah Perlis,
Zainuddin Ariffin kemudian menyamakan kedudukan pada minit-35 apabila bola
rembatannya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol MPPJ, Yazid Yassin
namun MPPJ kembali di depan apabila Sebastian Omar Manestrolo menyumbat gol
kedua sebelum babak pertama ditamatkan.
Hasil percaturan bijak
jurulatih Abdul Rahman Ibrahim, Perlis memperoleh dua gol pada babak kedua
menerusi Muhammad Lamin Conteh Al-Hidayah pada minit-56.
Simukonda muncul sebagai wira
Singa Utara pada minit 83 apabila mendapat bola hasil hantaran jauh Mohd. Ivan
Yusoff untuk mengelecek dua pemain pertahanan MPPJ dan Yazid sebelum menguis
masuk gol kemenangan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4gOM38LBi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan