Isnin, 29 Mei 2017

Singa Utara semakin ganas



ARKIB : 10/05/2005

Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED

KANGAR - Kejayaan Perlis menundukkan kesemua pesaing terdekatnya termasuk Public Bank kelmarin, membuktikan Singa Utara semakin digeruni dalam kancah Liga Super musim ini.

Kejayaan itu sekali gus menambah pungutan sebanyak 29 mata berbanding pesaing terdekatnya iaitu Pahang yang hanya memungut 21 mata, sekali gus mencerahkan buruan Singa Utara untuk menjulang Piala Liga.

Bermula dengan mengalahkan Pahang 5-1 dan seterusnya Pulau Pinang 2-0 dalam tempoh dua minggu ini, kejayaan lebih manis dicipta apabila Perlis berjaya menamatkan rekod tanpa kalah `The Bankers' ke atas pasukan itu sejak empat pertemuan lalu di Stadium Selayang, malam kelmarin.

Rekod Public Bank lebur sekelip mata selepas pemain Perlis, Zainuddin Mohd. Ariffin dan Adrien Jurad Chamrong masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-17 dan 75.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, pengurus pasukan Singa Utara, Adzmi Saad melahirkan rasa kesalnya terhadap mutu pengadilan dan juga keadaan padang yang tidak berkualiti di Stadium Selayang yang mengganggu kelancaran permainan.

Mengulas perlawanan malam kelmarin, beliau berkata, mutu pengadilan yang tidak konsisten membuatkan para penonton bertindak agresif dengan membaling pelbagai objek sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil.

Berikutan dua faktor itu, katanya, banyak peluang untuk menjaringkan gol oleh anak-anak buahnya terlepas begitu sahaja.

``Ditambah dengan keadaan padang bola yang tidak terjaga, ia mampu memusnahkan bidang bola sepak negara jika kedua-dua faktor tersebut tidak diendahkan dan dibiarkan tanpa sebarang tindakan,'' jelasnya ketika dihubungi Utusan Sukan hari ini.

Dengan menjangkakan Singa Utara mampu menghasilkan antara empat hingga lima jaringan, Adzmi memberitahu, pengadil sepatutnya mampu mengawal perlawanan dengan lebih baik.

Ditanya mengenai kekuatan Public Bank, kata beliau, pasukan itu juga mempunyai banyak peluang menerusi sepakan percuma yang diberikan tetapi tidak disempurnakan dengan baik.

Public Bank menurutnya, merupakan pasukan yang mempunyai kekuatan di barisan penyerang dan beberapa berjaya menembusi pasukan pertahanan Perlis.

``Berikutan kelemahan di barisan pertahanan, kita akan mantapkan lagi barisan di bahagian itu menjelang perlawanan menentang Telekom Melaka di Kangar pada 14 Mei depan,'' tambahnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iTmB3gEI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan