ARKIB : 15/09/2005
Oleh Kamaruddin Ismail
IPOH - Perlis mencerahkan
peluang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut
selepas menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan di Stadium Perak, semalam.
Kelebihan bermain di gelanggang
sendiri ternyata gagal digunakan sepenuhnya oleh Perak yang dikejutkan dengan
gol lawan seawal minit ke-8 menerusi Zacharia Simukonda.
Philimon Chipieta menambah
derita Perak dengan gol kedua pada minit ke-17 sebelum Frank Seator merapatkan
jurang gol pada minit ke-21.
Perlis ternyata begitu garang
sejak awal permainan dengan mengasak ke kubu Perak bertali arus.
Kerja keras pasukan pelawat itu
membuahkan hasil apabila tandukan Zacharia Simukonda pada minit ke-8 berjaya
menggegar jaring tuan rumah selepas menyambut hantaran silang Philimon
Chipieta.
Sorakan 2,000 penyokong Perlis
tambah meriah sembilan minit selepas itu apabila rembatan kencang Chipieta dari
luar kotak penalti melepasi jangkauan Mohd. Hamsani Ahmad.
Tidak cukup dengan dua gol,
gandingan Chipieta dan Simukonda terus membuatkan onar dalam kawasan pertahanan
Perak memaksa K. Nanthakumar, Chan Wing Hoong dan V.Thirumurugan bekerja keras.
Ghairah
Bagaimanapun ketika Perlis
ghairah untuk menambah jaringan, penyerang sensasi Perak, Frank Seator berjaya
mencuri ruang dengan menanduk masuk bola pada minit ke-21.
Pada minit ke-34, Perak
berpeluang menyamakan kedudukan tetapi tandukan Seator menghampakan 30,000
penonton apabila bola terus ke dakapan penjaga gol lawan, Mohd. Amran Omar.
Babak kedua ternyata berbeza
rentak apabila Perak mengambil giliran menguasai permainan tetapi gagal
memperoleh gol penyamaan.
Walaupun mengasak hebat ke kubu
Perlis, gol yang dinanti-nantikan masih tidak menjelma.
Hanya pada minit ke-51, Perak
benar-benar memperoleh peluang terbaik tetapi tandukan Seator yang hanya
berdepan dengan Amran gagal menerjah jaring.
Walaupun tidak dikawal tandukan
Seator terkena kaki Amran yang sekaligus melegakan Perlis untuk menghadapi
perlawanan separuh akhir kedua di tempat sendiri pada 18 September ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j2MJn1Vu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan