ARKIB : 10/05/2007
Oleh JOHARI SHAWAL
KANGAR Perlis mengancam akan
memboikot perlawanan terakhir mereka dalam kempen bola sepak Piala Malaysia
musim ini jika tiada penjelasan diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
berhubung kontroversi perlawanan Perlis-Kuala Lumpur di Stadium Utama di sini
minggu lalu.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PFA akan bermesyuarat dalam
waktu terdekat ini untuk mengambil keputusan itu jika FAM tidak mengambil
sebarang tindakan terhadap aduan dan bantahan mereka.
"FAM jawablah soalan saya.
Kalau mereka tidak berbuat demikian, kami akan ambil keputusan untuk tidak
bermain dalam perlawanan terakhir kita," katanya kepada pemberita di
pejabatnya di sini, semalam.
Skuad Singa Utara dijadual
bermain menentang Johor FC dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Malaysia
di Stadium JCorp, Pasir Gudang pada 26 Mei ini.
PFA telah mengemukakan bantahan
rasmi menerusi faksimili kepada FAM berhubung kontroversi perlawanan
Perlis-Kuala Lumpur yang antara lain meminta FAM memberi penjelasan mengenai
mutu pengadilan serta jaringan penyamaan Kuala Lumpur yang mencetuskan
kontroversi.
Dalam perlawanan itu, Perlis
tumpas 2-1 sekali gus menyukarkan peluang pasukan juara bertahan itu untuk
melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.
Menurut Shahidan, PFA telah
menghantar salinan rakaman video mengenai kontroversi itu terutama jaringan
penyamaan Kuala Lumpur dalam perlawanan itu.
"Kami sudah hantar
semuanya (pita video dan surat bantahan), kalau FAM tidak juga beri penjelasan
dan mengambil apa-apa tindakan, kami tidak mahu bermain pada perlawanan
terakhir nanti," katanya.
Bagaimanapun Shahidan berkata,
Perlis akan terus bermain dalam kempen Liga Super dan Piala FA.
Menteri Besar Perlis itu turut
menafikan akan mengundur diri daripada melibatkan diri dalam sukan bola sepak
sama ada di peringkat negeri atau FAM.
"Itu tidak timbul sebab
Presiden PFA dipilih oleh persatuan ini sendiri," katanya ringkas.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4taHZEzJe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan