Isnin, 27 November 2017

Irfan tidak puas hati

ARKIB : 02/07/2008
KUALA LUMPUR - Walaupun berjaya mengutip mata penuh di tempat lawan pasukan Perlis dilihat beraksi di bawah tahap kemampuan sebenar, tatkala banyak peluang untuk menjaringkan gol terlepas begitu sahaja ketika menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kelmarin, lapor FERZALFIE FAUZI.

Jurulatihnya, Irfan Bakti (gambar) berkata, pemain memberi persembahan yang sederhana dan kurang menyakinkan terutama sekali di bahagian tengah.

''Mereka beraksi pada tahap biasa sahaja tetapi saya tetap berpuas hati kerana kami berjaya membawa pulang tiga mata berharga untuk terus kekal cemerlang dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, faktor keletihan mungkin menjadi punca utama pemainnya tidak mampu untuk beraksi dengan lebih cemerlang dan menjaringkan lebih banyak gol.

''Pemain saya terlepas lima hingga enam peluang keemasan yang bagi saya memang mampu untuk memberikan jaringan tambahan kepada pasukan.

''Mereka berselang-seli membuat percubaan tetapi tidak juga berjaya memasukkan bola ke dalam jaring seterusnya memperlihatkan kelemahan sebenar pasukan,'' kata Irfan.

Bagaimanapun Irfan sangat berpuas hati dengan barisan pertahanan yang kukuh bertahan sehingga perlawanan tamat untuk mengekalkan kedudukan 1-0.

''Pemain pertahanan bermain dengan baik semalam (kelmarin) dengan mengekang asakan pasukan ATM yang cuba untuk mencari gol penyamaan.

''Saya berharap untuk perlawanan seterusnya menentang Perak di tempat sendiri pemain dapat bermain bersungguh-sungguh dan tidak kehilangan mata berharga,'' katanya.

Dalam perlawanan kelmarin gol tunggal kemenangan Perlis dijaringkan oleh Phillimon Chipeta pada separuh masa pertama.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zdNIEg6h

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan