ARKIB : 26/12/2008
Chan Wing Hoong
KUALA LUMPUR - Bekas pemain
Perak, Chan Wing Hoong yang sebelum ini menandatangani kontrak bersama pasukan
DPMM Brunei bakal disambar oleh Perlis, lapor FERZALFIE FAUZI.
Pemain yang berasal dari Ipoh
itu terpaksa mencari pasukan baru selepas DPMM Brunei menghadapi masalah
pembatalan pendaftaran persatuan bola sepak negara itu Perdaftar Pertubuhan
Brunei.
Menurut Pengurus pasukan
Perlis, Mohd. Noor Aziz berkata, Wing Hoong dijangka akan menandatangani
kontrak baru bersama Perlis esok, selepas selesai urusan surat pelepasan
bersama pasukan kelab negara Brunei itu.
''Sekarang, dia (Wing Hoong)
masih lagi di Brunei menguruskan surat pelepasannya di sana dan DPMM sendiri
telah bersetuju untuk mengeluarkan surat tersebut,'' katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, Perlis tidak menunggu
lama untuk menghubungi Wing Hoong sebaik sahaja berita mengenai pembatalan
pasukan DPMM Brunei keluar Selasa lalu.
''Ketika kami menghubunginya
dia menyatakan persetujuan untuk mewakili Perlis dan memberi tempoh beberapa
hari untuk menyelesaikan urusannya di Brunei.
''Jika tidak ada aral melintang
Wing Hoong akan tiba Sabtu ini (esok) dan terus menandatangani kontrak untuk
bermain di sini,'' katanya.
Ditanya kenapa Wing Hoong
bersetuju untuk mewakili Perlis, Mohd. Noor berkata, selain menganggap pasukan
Singa Utara mempunyai nama yang besar dalam liga tempatan, ramai bekas rakan
sepasukannya (Perak) berhijrah ke sini.
''Dia berasa senang untuk
bersama kami kerana ramai rakannya ketika bermain bersama skuad Perak berhijrah
ke Perlis, antaranya Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Danial Fazly Abdullah dan Yusri
Che Lah.
''Sekali lagi saya nyatakan di
sini memang sah Wing Hoong akan menyertai kami,'' kata Mohd. Noor.
Selain beraksi di pertahanan
kiri Wing Hoong juga tidak kekok untuk diletakkan di bahagian sayap kiri.
Pemain berusia 31 tahun itu
beraksi bersama pasukan Seladang dari 1998 hingga 2005 sebelum berhijrah ke
Selangor MPPJ bersama rakan sepasukan K. Nanthakumar pada 2006.
Dia kemudiannya kembali ke
Perak pada 2007 dan pernah mewakili pasukan kebangsaan dalam beberapa kejohanan
antarabangsa, antaranya Piala Tiger 2002, Pestabola Merdeka 2006 dan Kejohanan
AFF 2007.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51FKhJLsm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan