Sabtu, 3 September 2016

Rahsia Singa Utara terbongkar

ARKIB : 01/05/1998
Rahsia Singa Utara terbongkar
Kini bukan rahsia lagi, baik pemain mahu pun Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sedang bergelumang dengan masalah yang turut menjejaskan persembahan dan persiapan skuad Singa Utara mengharungi kempen Perdana Satu, lapor AZIZAN HASHIM.

Ada kalangan membuat andaian skuad Perlis yang gah dengan nama Singa Utara kini menjadi cacamerba.

Tuduhan seperti itu tentu tidak adil tetapi melihat kepada prestasi malap kesebelasan Perlis, tidak siapa boleh menafikan tohmahan itu mengandungi kebenaran.

Empat kekalahan Perlis termasuk yang terakhir tumpas 0-2 kepada Sarawak minggu lepas menjadi bukti skuad Perlis dibelenggu masalah.

Tiga kekalahan lain ialah kepada Perak 0-5, Negeri Sembilan 0-4 dan Sabah 1-2. Setakat ini Perlis menang 4-1 dengan jiran tetangganya, Kedah.

Masalah dalam PFA yang dikatakan sudah selesai sebenarnya belum tamat dan Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim sendiri mengakui masalah masih ada.

Sejauh mana Menteri Besar Perlis itu dapat merongkaikan kekusutan bagi meletakkan skuad Perlis pada landasan yang betul memerlukan tindakan yang berani.

Masalah itu tidak boleh lagi dibiarkan mencengkam bak duri dalam daging kepada PFA atau pemain dan jika tidak diselesaikan segera, tegas dan bijaksana, skuad Perlis akan menyaksikan pemulauan hebat para peminatnya.

Pertemuannnya dengan Selangor di Kangar Sabtu ini akan menguji sejauh mana sokongan dan kesetiaan peminatnya.

Mungkin sukar bagi Perlis untuk menumbangkan Red Giants yang dibarisi ramai pemain ternama tetapi kekalahan skuad pelawat juga bukan mustahil.

Inilah peluang terbaik Singa Utara untuk membuktikan taringnya masih berbisa dan dengan sedikit kerja keras pemain dan nasib, Perlis boleh mengikat atau mengatasi Selangor.

Lupakan rekod pertemuan lampau yang banyak memihak kepada pasukan dari Lembah Klang itu.

Perlis yang menggembar-gemburkan kehadiran penyerang baru dari Thailand Kiatisuk Senamuang, 26, yang dikatakan bakal menggantikan salah seorang daripada tiga pemain importnya akan pasti mahu melihat sama ada pemain itu mampu memulihkan semula maruahnya yang tercalar.

Walaupun dia digeruni di Thailand dan pernah membantu negaranya menewaskan Malaysia untuk menjulang Piala Tiger di Singapura pada tahun 1996, namun senario mewakili Perlis mungkin berbeza.

Malah Henry Acquah dari Ghana yang sebelum ini dikatakan mampu berbuat sesuatu untuk Perlis lebih merupakan indah khabar dari rupa sahaja.

Sumber=Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JCsSkXeL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan