ARKIB : 01/05/1998
Rahsia Singa Utara terbongkar
Kini bukan rahsia lagi, baik
pemain mahu pun Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sedang bergelumang dengan
masalah yang turut menjejaskan persembahan dan persiapan skuad Singa Utara
mengharungi kempen Perdana Satu, lapor AZIZAN HASHIM.
Ada kalangan membuat andaian
skuad Perlis yang gah dengan nama Singa Utara kini menjadi cacamerba.
Tuduhan seperti itu tentu tidak
adil tetapi melihat kepada prestasi malap kesebelasan Perlis, tidak siapa boleh
menafikan tohmahan itu mengandungi kebenaran.
Empat kekalahan Perlis termasuk
yang terakhir tumpas 0-2 kepada Sarawak minggu lepas menjadi bukti skuad Perlis
dibelenggu masalah.
Tiga kekalahan lain ialah
kepada Perak 0-5, Negeri Sembilan 0-4 dan Sabah 1-2. Setakat ini Perlis menang
4-1 dengan jiran tetangganya, Kedah.
Masalah dalam PFA yang
dikatakan sudah selesai sebenarnya belum tamat dan Presiden PFA, Datuk Seri
Shahidan Kassim sendiri mengakui masalah masih ada.
Sejauh mana Menteri Besar
Perlis itu dapat merongkaikan kekusutan bagi meletakkan skuad Perlis pada
landasan yang betul memerlukan tindakan yang berani.
Masalah itu tidak boleh lagi
dibiarkan mencengkam bak duri dalam daging kepada PFA atau pemain dan jika
tidak diselesaikan segera, tegas dan bijaksana, skuad Perlis akan menyaksikan
pemulauan hebat para peminatnya.
Pertemuannnya dengan Selangor
di Kangar Sabtu ini akan menguji sejauh mana sokongan dan kesetiaan peminatnya.
Mungkin sukar bagi Perlis untuk
menumbangkan Red Giants yang dibarisi ramai pemain ternama tetapi kekalahan
skuad pelawat juga bukan mustahil.
Inilah peluang terbaik Singa
Utara untuk membuktikan taringnya masih berbisa dan dengan sedikit kerja keras
pemain dan nasib, Perlis boleh mengikat atau mengatasi Selangor.
Lupakan rekod pertemuan lampau
yang banyak memihak kepada pasukan dari Lembah Klang itu.
Perlis yang
menggembar-gemburkan kehadiran penyerang baru dari Thailand Kiatisuk Senamuang,
26, yang dikatakan bakal menggantikan salah seorang daripada tiga pemain
importnya akan pasti mahu melihat sama ada pemain itu mampu memulihkan semula
maruahnya yang tercalar.
Walaupun dia digeruni di
Thailand dan pernah membantu negaranya menewaskan Malaysia untuk menjulang
Piala Tiger di Singapura pada tahun 1996, namun senario mewakili Perlis mungkin
berbeza.
Malah Henry Acquah dari Ghana
yang sebelum ini dikatakan mampu berbuat sesuatu untuk Perlis lebih merupakan
indah khabar dari rupa sahaja.
Sumber=Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JCsSkXeL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan