Jumaat, 29 Julai 2016

Singa Utara ikat Acquah selama setahun

ARKIB : 01/04/1998
BEKAS penyerang import Perlis, Henry Acquah dari Ghana akhirnya menandatangani kontrak selama setahun dengan Singa Utara sekali gus melengkapkan kuota tiga pemain importnya bagi mengharungi cabaran Liga Perdana musim ini, lapor AZIZAN HASHIM.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan perkara itu di Kangar semalam.

Menteri Besar Perlis itu bagaimanapun enggan memberi butir-butir lanjut.

Upacara menandatangi kontrak berlangsung secara tergesa-gesa di kediaman rasmi Menteri Besar di Kangar malam kelmarin.

Acquah dilaporkan mengugut untuk pulang selepas PFA dikatakan melengah-lengahkan pengambilannya atas sebab yang tidak diketahui.

Acquah bakal beraksi dengan Perlis bagi musim ini, pemain itu tidak dapat membantu Perlis apabila skuad Singa Utara itu bertandang ke Ipoh untuk menentang Perak pada perlawanan pertama liga Sabtu ini.

Peraturan menetapkan setiap pemain import perlu didaftar seminggu sebelum perlawanan.

Dua lagi pemain import Perlis ialah Mohamad Akrane dari Maghribi dan Carlos Cardoso de Souza dari Brazil.

Setakat ini kekuatan ketiga-tiga pemain import terbabit masih belum teruji sepenuhnya.

Malah masih terlalu awal untuk mengukur kemampuan pemain tempatan Perlis yang rata-rata dibarisi pemain muda.

Anehnya Presiden PFA nampaknya sudah mula menggembar-gemburkan kekuatan anak buahnya.

Beliau mungkin mempunyai sebab kukuh berbuat demikian jika mengambil kira kemenangan besar Perlis pada perlawanan persahabatan dengan pilihan Thailand baru-baru ini.

Pada perlawanan di Stadium Utama Kangar minggu lepas, Perlis yang dibantu dua pemain importnya, Mohamad Akrane dan Carlos membelasah pasukan Pilihan Thailand 9-3.

Acquah bagaimanapun tidak diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan pada jari kakinya.

Menurut Shahidan lagi, Perlis sudah menunjukkan taringnya untuk memasuki separuh akhir Liga Perdana musim lalu.

Apapun kata Shahidan, saya akan pastikan Perlis akan memeranjatkan semua pihak dengan memasuki perlawanan akhir musim ini.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FqXHsOLG © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 28 Julai 2016

Peminat kesal Singa Utara hilang taring

ARKIB : 13/03/1998
WALAUPUN masih terlalu awal untuk melabelkan sebagai pasukan belasahan, namun kekalahan Perlis 0-3 kepada tetangganya, Kedah dalam perlawanan Piala Dunhill di Stadium Darul Aman, Alur Setar malam kelmarin, tidak dapat diterima oleh ramai peminat Perlis, lapor AZIZAN HASHIM.

Kekalahan itu juga tentu mengejutkan pengurusan baru Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Selepas beraksi cemerlang pada perlawanan pertama di gelanggang sendiri dengan kemenangan 4-3 ke atas jirannya itu, tentulah kekalahan dengan agregat 6-4 merupakan sesuatu yang memalukan kepada Singa Utara.

Sebelum inipun acara tahunan itu tidak pernah dimenangi Perlis.

Apakah kemampuan skuad Singa Utara hanya hangat-hangat tahi ayam atau Perlis hanya mahu menjadi jagoan di gelanggang sendiri ?

Anehnya Shahidan sebelum ini terlalu optimis bahawa Perlis akan membawa pulang Piala Dunhill setelah begitu yakin dengan kemampuan anak buahnya pada perlawanan pertama.

Ternyata mimpi Menteri Besar Perlis itu bukan selalunya indah belaka sebaliknya tiga jaringan oleh Kedah mungkin menutup mulut beliau buat seketika.

Perlis mungkin silap strategi untuk menyaingi Kedah dengan menguji beberapa pemain baru yang tidak berpengalaman berbanding dengan pemain Kedah.

Tiga pemain import Perlis juga tidak mampu mengekang gawangnya dibolosi lawan. Malah, pemain dari Brazil Louis Carlos Cardoso de Souza yang diharap menyuntik semangat rakan-rakan lain juga mengecewakan.

Demikian juga persembahan Christopher Sia Sia dari Ghana tidak dapat memberi kepuasan yang diharapkan.

Yang nyatanya, persembahan Sia Sia gagal memikat hati pihak pengurusan PFA malam kelmarin .

Ricky Greenwood dari Amerika yang menyumbat dua daripada empat gol dalam perlawanan pertama ketika Perlis menundukkan Kedah 4-3 juga tidak lagi diminati PFA.

Kedua-dua pemain import itu sudahpun diberi ucapan Sayonara oleh PFA semalam.

Buat masa ini Perlis hanya mengikat kontrak bermain setahun dengan Mohamed Akrane, 30, dan masih mencari dua lagi pemain import untuk mencukup kuota tiga pemain import.

Tidak dapat dinafikan Perlis masih mengharapkan bekas pemain dan penjaring terbanyaknya musim lalu, Henry Acquah yang dijangka tiba di Perlis bila-bila masa.

Shahidan mengesahkan di Kangar semalam, PFA masih mencari dua lagi pemain import.

Beliau juga amat mengharapkan Acquah dapat beraksi semula dengan Perlis tetapi beliau tetap mahukan Acquah menjalani ujian kecergasan jika mahu diserapkan ke dalam kesebelasan utama skuad Perlis.

Perlis akan menghadapi ujian sebenar apabila bertemu Perak pada perlawanan pertama Liga Perdana di tempat sendiri 4 April depan.

Para peminat pasti tidak mahu melihat skuad kesayangan mereka tumpas lebih-lebih Shahidan yang tidak sanggup menelan kekalahan berturut-turut.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Fhpehr3n © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Julai 2016

Perlis paksa JDT II pulang hampa

ISNIN, 25 JULAI 2016 @ 8:20 PM
Oleh Hafizudin Mohd Safar bhsukan@bh.com.my 
PEMAIN Perlis, Park Yong Jun (belakang) diasak pemain JDTII, Baihaki Kaizan pada perlawanan Liga Perdana 2016 di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di Kangar, sebentar tadi. - Foto Amran Hamid KANGAR: Perlis berjaya menyekat kemaraan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) selepas membenam pasukan dari selatan itu dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan Liga Perdana 2016 di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di sini, sebentar tadi. Menyerap tenaga dan kelebihan bermain di depan 1,300 penyokong tempatan, pasukan terkenal dengan jolokan Singa Utara itu berjaya mengutip tiga mata penuh menerusi kemenangan tipis itu
. Perlis menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ke-57 hasil percubaan pemain import, Mohamadou Sumareh. Permainan menjadi tegang dalam separuh masa kedua selepas pelawat terpaksa bermain dengan hanya 10 pemain selepas Mohd Amer Saidin dilayangkan kad merah pada minit ke 73 kerana mengasari pemain import Perlis, Park Yong Jun. Perlis juga terpaksa bermain 10 orang apabila Sumareh dilayangkan kad merah kerana mengasari Muhd Sharul Akmal. Kemenangan itu membolehkan Perlis naik satu anak tangga ke kedudukan keenam liga apabila mengumpul 21 mata.


SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/176881

Sabtu, 23 Julai 2016

Bakri Ibni pilihan Perlis


 

ARKIB : 12/01/1998
ANAK JATI... Bakri Ibni dijangka mengambil alih kerusi panas yang ditinggalkan oleh Abdul Rahman Ibrahim sebagai jurulatih Perlis.

BEKAS pemain kebangsaan dan ketua pasukan Perlis, Bakri Ibni dijangka akan mengambil alih tugas Abdul Rahman Ibrahim selaku jurulatih skuad Singa Utara menjelang liga musim baru tahun ini.

Bakri yang pernah menerajui skuad berkenaan sehingga mencapai era kegemilangan dilaporkan sudah dihubungi oleh pegawai Persatuan Bola Sepak Perlis untuk memimpin pasukan berkenaan.

Beliau yang merupakan antara pemain terbaik barisan tengah negara pada era kegemilangannya dilihat sebagai calon terbaik untuk meneruskan perjuangan skuad Singa Utara.

Pemilihan Bakri untuk membawa cabaran Perlis dianggap kena pada tempatnya kerana rekod dahulu membuktikan beliau mampu meneruskan kegemilangan skuad berkenaan.

Beliau pernah menjadi pemain dan jurulatih pada satu masa untuk pasukan Perlis pada awal 80-an dan berjaya menaikkan nama pasukan berkenaan sehingga digelar Singa Utara.

Malah zamannya bersama Saidin Osman dan Ibrahim Saad membuatkan lawan mereka digeruni apabila berhadapan dengan pasukan berkenaan.

Bakri yang mempunyai lesen A dari England masih lagi aktif dengan bola sepak dan kini berada di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun difahamkan PFA sedang merujuk lesen A yang diperolehi oleh Bakri di England kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sama ada layak untuk menjadi jurulatih pasukan Perlis.

Namun Bakri akan bertindak sebagai pengarah kejurulatihan terlebih dahulu sekiranya lesen A yang ada tidak membolehkannya bertindak sebagai jurulatih.

Apa pun peperiksaan untuk lesen A oleh FAM dijangka dijalankan pada Mac ini dan Bakri dikira sempat untuk berbuat demikian bagi mengemudi skuad Perlis tahun ini.

Buat sementara waktu tugas melatih pasukan Perlis akan dipikul oleh penolong jurulatih, Norizan Bakar yang sudah memliliki lesen A daripada FAM, buat sementara waktu.

Pemilihan Bakri sebagai jurulatih Perlis pasti akan disambut dengan hati terbuka memandangkan pengalaman luas dalam arena bola sepak.

Malah jika ini berlaku, tampuk jurulatih Perlis akan kembali dipikul oleh anak jati setelah sekian lama dipegang orang luar.

Bagaimanapun selain Bakri, bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Hassan dan bekas jurulatih Kedah, Mostakeen Omar turut dikaitkan dengan skuad berkenaan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FExrccnT © Utusan Melayu (M) Bhd