Selasa, 2 Mei 2017

Perlis kaya pemain Kedah

ARKIB : 02/12/2004
Tonggak perlis, Phillemon Chipeta (empat dari kanan) sempat bergurau selepas mencukur rambut salah seorang peminat bola sepak Perlis di Stadium Utama Kangar, semalam. - Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.


MUNGKIN ramai yang tidak menyedari bahawa beberapa pemain Perlis yang bakal berdepan dengan pasukan Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2004 Sabtu ini, berasal dari negeri Kedah dan ada di antara mereka pernah beraksi untuk skuad Hijau Kuning selama beberapa musim.
Tujuh pemain Perlis yang dilahirkan di Kedah ialah ketua pasukan, Muhammad Kaironnisam Shahabuddin Hussin, Amran Omar, Mohd. Feriza Ismail, Adrien Jurad Chamrong, Yusri Che Lah, Rafiz Abu Bakar dan Mohd. Shahabuddin Kadir.
Malah, beberapa pemain Perlis lain yang pernah berbakti dengan Kedah kini turut bermain untuk pasukan Singa Utara iaitu Zainuddin Ariffin dan Manzoor Azwira Wahid.
Namun kesemua pemain terbabit bertekad tidak mengambil kira tempat kelahiran mereka atau negeri di mana mereka pernah bermain, sebaliknya berhasrat untuk bermain bersungguh-sungguh dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.
Kesemua pemain terbabit juga ketika ditanya mengenai hakikat itu memberikan reaksi spontan, iaitu sudah pasti akan berjuang bermati-matian bagi memastikan Perlis yang pertama kali layak ke akhir Piala Malaysia memenangi kejuaraan tersebut.
Muhammad Kaironnisam yang digelar `Botak' di kalangan rakan sepasukannya berkata, walaupun Kedah dan Perlis dianggap pasukan berjiran, semangat dia dan pemain lain untuk membantu Perlis muncul juara begitu tinggi.
``Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, begitulah saya yang mencari rezeki di Perlis, sudah pasti khidmat saya akan dicurahkan kepada negeri ini,'' katanya yang dilahirkan di Perumahan Awam Mergong, Alor Star ketika ditemui selepas sesi latihan di Kangar, semalam.
Skuad Perlis bakal bertemu jiran mereka, Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang pertama kali menemukan dua pasukan itu setelah mengenepikan cabaran Pahang dan Sabah di peringkat separuh akhir.
Penjaga gol Perlis, Amran pula dilahirkan di Alor Merah dan bertekad untuk membantu pasukannya muncul juara kali ini.
Bagi Mohd. Feriza pula, beliau pernah beraksi untuk Kedah selama tujuh musim iaitu sejak tahun 1993 hingga 1999 dan pernah membantu Kedah menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1993.
Anak kelahiran Alor Star itu, bagaimanapun tidak dapat beraksi pada perlawanan akhir ini nanti kerana digantung perlawanan setelah menerima kad merah ketika menentang Pahang.
Pemain pertahanan berketurunan Siam, Jurad Chamrong pula dilahirkan di Jitra dan pernah beraksi untuk skuad Kenari pada tahun 1999 hingga 2001.
Begitu juga Rafiz yang berasal dari Kuala Kedah, pernah bermain untuk Hijau Kuning pada tahun 1998 hingga 2002, manakala Mohd. Shahabuddin pula pada tahun 1999 hingga 2001.
Pemain Perlis yang pernah beraksi dengan pasukan gergasi Selangor dan Perak iaitu Yusri juga dilahirkan di Kulim. Beliau bagaimanapun mengikut keluarganya berpindah ke Padang Besar.
Zainuddin yang berasal dari Kelantan pula pernah beraksi untuk skuad Kedah selama dua musim iaitu pada tahun 2002 dan tahun lalu dan turut mengikut jejak langkahnya ialah Manzoor yang merupakan pemain kelahiran Pulau Pinang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan