Ahad, 28 Mei 2017

Perlis akui langkah sumbang



ARKIB : 28/04/2005

Oleh YUSRI SAHAT

KANGAR - Selepas `berbulan madu' selama lima minggu, Perlis memulakan langkah sumbang apabila tewas kepada Sabah 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam semalam.

Kekalahan mengejut di tangan pasukan kedua tercorot itu sekali gus membantutkan usaha skuad Singa Utara itu memperkukuhkan cengkaman di persada liga selepas dipintas oleh Pahang yang menang besar ke atas Pulau Pinang 4-1.

Berikutan kegagalan mengutip mata penuh itu, Perlis kekal mengumpul 20 mata manakala Pahang mengatasi Singa Utara dengan kelebihan jaringan gol.

Pengurus pasukan, Adzmi Saad ketika dihubungi, sukar untuk menerima kekalahan itu apatah lagi Perlis pernah membelasah teruk Sabah 5-0 pada pertemuan pertama di Kangar pada 5 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan anak-anak buahnya yang telah memberi komitmen yang tinggi sebaliknya mendakwa mutu pengadilan yang lemah menjadi faktor utama kekalahan tersebut.

Tegas beliau, beberapa insiden yang sepatutnya berpihak kepada pemain Perlis, tidak diberi layanan sewajarnya sedangkan pada masa yang sama Sabah sentiasa mendapat kelebihan jika berlaku sesuatu kekasaran.

``Perlis sepatutnya dihadiahkan dua penalti apabila Zacharia Simukonda dijatuhkan dengan kasar di dalam kotak tetapi tidak dilayan oleh pengadil dari Perak.

``Keadaan berlaku sebaliknya apabila Sabah pula berjaya memperoleh penalti menerusi Julio Cesar,'' katanya kepada Utusan Sukan, semalam.

Adzmi mendakwa, sikap pengadil yang dikatakan lebih memihak kepada Sabah juga menyebabkan para pemain pasukan Badak itu semakin `berani' bermain dengan keras terhadap anak-anak buahnya.

Faktor keletihan beberapa pemainnya yang baru pulang daripada Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi baru-baru ini juga merupakan punca Perlis gagal memberi persembahan terbaik dalam pertemuan itu, ujarnya.

``Para pemain Sabah tidak ada yang terbabit dengan sukan itu dan mereka mampu mengerahkan tenaga mereka sepenuhnya untuk membenam Perlis,'' jelasnya.

Apa pun, beliau tetap mengingatkan kepada anak-anak buahnya supaya memperbaiki segala kelemahan memandangkan pertemuan seterusnya lebih getir iaitu berhadapan dengan Pahang di Kangar, Sabtu ini.

Pertemuan tersebut katanya, amat penting dan bakal menjadi titik penentuan pasukan mana yang sebenarnya layak menduduki persada liga.

``Kehadiran Pahang ke sini pastinya dengan misi untuk membalas dendam selepas mereka tewas 1-0 pada pertemuan pertama di Kuantan pada 12 Februari lalu,'' tambahnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iQqelelf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan