Isnin, 29 Mei 2017

Perlis kena kejutan



ARKIB : 15/05/2005
TONGGAK Pahang, Bernard Samuil Tchoutang (kiri) diasak oleh pemain Perak, Syamsul Mohd. Saad dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Hujan lebat bagaimanapun menyebabkan perlawanan itu ditunda dengan kedudukan Pahang mendahului Perak 2-1. - Gambar Ghazali Basri.

KUALA LUMPUR - Reputasi Perlis sebagai pendahulu sedikit tercabar apabila gagal menyempurnakan peluang mengukuhkan kedudukan di tempat sendiri apabila tewas mengejut 1-2 kepada Telekom dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Utama Negeri di Kangar, semalam.

Walaupun skuad Singa Utara tumbang di gelanggang sendiri ia tidak merubah kedudukan pasukan itu yang masih terus mendominasi teraju Liga Super dengan kekal 29 mata.

Petanda awal skuad Singa Utara bakal rebah apabila seawal minit kelapan bekas pemain kebangsaan, Rusdi Suparman meledakkan jaringan mengamamkan kesebelasan utama pemain tuan rumah.

Sebaliknya pelawat bertindak cemerlang pada minit ke-12 apabila menggandakan jaringan menerusi Marzuki Yusof.

Telekom bagaimanapun kehilangan khidmat pemain tengah mereka, Tengku Hasbulah Raja Hassan yang terpaksa dikejarkan ke hospital akibat patah tulang rusuk selepas berlaga dengan salah seorang pemain Perlis pada minit ke-40.

Perlis mengambil kesempatan itu untuk bangkit tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi Mohd. Lamin Conteh Jr. pada minit ke-60.

Di Stadium Darul Makmur Kuantan pula, perlawanan terpaksa ditangguhkan pada minit ke-72 akibat hujan ketika tuan rumah, Pahang sedang mendahului Perak 2-1.

Penyerang import Pahang, Bernard Tchoutang membuka tirai jaringan pertama pada minit ke-21 dan menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-38.

Bagaimanapun di masa kecederaan babak pertama hendak ditamatkan, Perak yang terhimpit berada di tangga tercorot liga merapatkan jurang menerusi jaringan Shahrul Nizam Mustafa.

Di Stadium Bandaraya pula, Pulau Pinang turut mengutip tiga mata berharga apabila menewaskan Public Bank 3-1.

Jose Marcio Barreto menyumbang dua gol buat Pulau Pinang pada minit ke-17 dan 73 dan satu lagi gol dijaringkan Viatchelav Melnikov pada minit ke-36.

Gol tunggal Public Bank pula dijaringkan menerusi Choe Chee Weng pada minit ke-19.

Di Stadium Likas pula Sabah bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 dengan MPPJ.

MPPJ mengejutkan penyokong tuan rumah apabila memperoleh gol seawal minit ke-8 menerusi Bennewton Katanha yang menolak mudah bola di depan gol.

Bagaimanapun Sabah menyamakan kedudukan menerusi Julio Ceaser yang menyambut bola hasil sepakan percuma Arshad Ayob pada minit ke-51.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iUBxIu74
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan