Isnin, 5 Jun 2017

Jurad antara digugur



ARKIB : 06/10/2005

KANGAR - Durahim Jamaluddin, Adrien Jurad Chamrong, Mohd. Khairi Zainuddin, Mohd. Irme Mat, Rosle Md. Derus dan Somchat Narong merupakan antara pemain yang digugurkan daripada skuad Singa Utara pada musim depan, lapor Metra Syahril Mohamed.

Difahamkan kebanyakan mereka yang telah mendapat surat pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kini sedang mengatur strategi untuk memancing kelab-kelab lain bagi membolehkan karier bola masing-masing tidak terkubur begitu sahaja.

Namun begitu, ada juga yang berangan-angan untuk menamatkan karier sebagai pemain bola sepak pada usia yang begitu muda bagi mencari sumber rezeki yang lebih terjamin seperti membuka perniagaan sendiri dan sebagainya.

Sementara itu, pemain yang baru dimasukkan ke dalam `keluarga' Singa Utara, Eddy Gapil @ Edwin pula dikatakan telah diberi kata dua sama ada ingin meneruskan perjuangan bersama pasukan tersebut dan meninggalkan kerjaya sebagai anggota polis.

Berlainan pula dengan nasib Yusri Che Lah, Mohd. Feriza Ismail, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Mohamad Kaironnisam Shahabudin Hussein (kapten) dan juga tiga tonggak pemain import, Phillimon Chipeta, Zacharia Simukonda dan Joao Bandoch.

Mereka mungkin boleh menarik nafas lega apabila menerima surat tawaran dan berkemungkinan akan menyambung kontrak bersama Singa Utara bagi musim akan datang.

Sukan Utusan semalam melaporkan PFA bertindak menggugurkan beberapa pemain yang difikirkan tidak menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang saingan merebut piala Liga Super dan Piala Malaysia baru-baru ini.

Menurut pengurus Singa Utara, Adzmi Saad berkata, tindakan tersebut dilakukan hasil perbincangan dengan jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim serta beberapa pegawai pengurusan PFA.

Katanya, surat tersebut diberikan awal bagi membolehkan setiap pemain mencari pasukan baru sebelum akhir tahun ini.

Dalam pada itu, wira perlawanan akhir Piala Malaysia 2004, Adrien Jurad ketika dihubungi Sukan Utusan memberitahu, dirinya masih belum membuat sebarang keputusan untuk mencari dan menyertai mana-mana pasukan.

``Buat masa ini, biarlah saya berehat terlebih dahulu. Urusan mencari pasukan baru akan saya fikirkan selepas ini. Jika tidak ada pasukan yang berminat, mungkin saya terpaksa mencari pekerjaan lain,'' katanya.

Para pemain Singa Utara yang beragama Islam termasuk pengurusan PFA berlepas ke Tanah Suci Mekah malam tadi untuk mengerjakan umrah iaitu `hadiah' yang dijanjikan jika memenangi piala Liga Super.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j784or00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan