ARKIB : 30/08/2005
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
Penyerang Perlis, Phillimon
Chipeta (kiri) diasak oleh pemain Terengganu, Fabio Flor pada perlawanan bola
sepak Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, malam semalam.Terengganu menang
2-1. - Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.
KANGAR - Sikap sambil lewa dan
`syok sendiri' menjadi faktor utama kekalahan Perlis 1-2 kepada pasukan bukan
pilihan, Terengganu pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia kelmarin.
Begitulah antara luahan kecewa
Penolong Pengurus Perlis, Jamil Saad terhadap persembahan para pemainnya yang
memandang mudah perlawanan tersebut.
Menurut beliau, kedua-dua
faktor itu jelas dapat disaksikan terutama di bahagian serangan yang
seolah-olah tidak wujud persefahaman di kalangan pemain.
``Ada pemain senior di bahagian
lain yang beraksi sambil lewa dan perkara ini kita akan berikan perhatian
serius,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan, semalam.
Pada perlawanan itu, Md.
Norisham Hassan dan Sapian Wahid menjadi wira Terengganu apabila masing-masing
meledakkan satu gol bagi memastikan Singa Utara tumbang buat kali kedua kepada
pasukan Penyu itu sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini.
Perlis sebelum ini tewas kepada
pasukan yang sama 0-1 ketika beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
Kuala Terengganu pada 24 Ogos lalu.
Kekalahan itu sekali lagi
membantutkan peluang Perlis untuk mara ke suku akhir mengiringi Perak dan
Pahang.
Mohd. Jamil menegaskan, sikap
seumpama itu jika diteruskan dalam perlawanan akan datang bakal memusnahkan
harapan Perlis untuk mara di peringkat seterusnya.
Apa pun jelasnya, kekalahan itu
belum menutup peluang Perlis untuk mara ke peringkat suku akhir jika juara
bertahan itu mencapai kemenangan ketika menentang PKNS esok.
``Saya berharap para pemain
dapat mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku untuk sama-sama memastikan
pasukan ini sekali lagi mampu mempertahankan gelaran juara,'' tambahnya.
Beliau turut memuji kesungguhan
para pemain Terengganu yang beraksi cemerlang untuk membawa tiga mata berharga
buat pasukan itu sekali gus menghampiri suku akhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iveu8wUH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan