Oleh SAYED HESHAM IDRIS
KUALA LUMPUR - Selepas Kedah
dan Melaka dilanda kemelut pembayaran gaji, para pemain yang membawa Perlis
muncul naib juara bola sepak Piala Malaysia Oktober lalu mendakwa mereka
berdepan masalah yang serupa.
Sumber memberitahu, kesemua
pemain Singa Utara tidak menerima gaji hampir tiga bulan dengan gaji terakhir
yang mereka terima hanyalah untuk bulan Ogos yang dibayar pada awal September
lalu.
Keadaan itu menyebabkan para
pemain Perlis `lesu' merayakan Aidilfitri kali ini.
Malah kegagalan Perlis
mempertahankan Piala Malaysia apabila tewas 0-3 di tangan Selangor pada
perlawanan akhir 1 Oktober lalu turut dikaitkan dengan faktor tiadanya
pembayaran gaji untuk bulan September.
``Kini hampir tiga bulan para
pemain Perlis tidak menerima apa-apa bayaran sedangkan gaji mereka sepatutnya
dibayar sehingga kontrak berakhir iaitu pada hujung bulan ini.
``Pemain tidak tahu mengapa
pihak pengurusan berdiam diri tanpa sebarang alasan.
``Keadaan itu menyebabkan
pemain yang membawa Perlis muncul juara Liga Super musim ini tidak ceria
merayakan Aidilfitri. Tiada suasana gembira disebabkan masalah ini.
``Keadaan pastinya lebih
dirasai bagi para pemain yang sudah berkeluarga,'' kata sumber tersebut.
Sebelum ini Kedah dan Melaka
turut berdepan masalah yang sama namun persatuan bola sepak kedua-dua negeri
telah berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Menurut sumber tersebut, kerana
tidak tahan dengan masalah ketiadaan bayaran yang terus berlarutan, difahamkan
ada pemain import yang bertindak bertemu sendiri dengan pengurus pasukan untuk
meminta gaji.
Sumber tersebut turut
mempertikaikan janji persatuan untuk mengagih-agihkan wang RM500,000 hasil
kutipan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia Oktober lalu yang sehingga kini
masih belum diterima oleh semua pemain.
``Pihak pengurusan sendiri
berjanji akan mengagih-agihkan wang kutipan tersebut tetapi nampaknya perkara
itu terus senyap.
``Jika masalah ini berlarutan
para pemain akan berdepan masalah kewangan yang lebih serius dalam menampung
perbelanjaan seharian.
``Bagi pemain yang digugurkan
pula, mereka perlukan wang untuk perbelanjaan mencari pasukan baru. Saya
berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana musim baru liga
akan bermula tidak lama lagi,'' katanya.
Tambah sumber itu, difahamkan
ada pemain yang tawar hati untuk menyambung kontrak dengan Perlis disebabkan
masalah tersebut dan bertindak mencari haluan baru pada musim depan.
``Sebelum ini pun para pemain
pernah berdepan masalah kelewatan gaji... pernah dua bulan mereka tidak
menerima gaji tetapi akhirnya bayaran dibuat.
``Tetapi nampaknya di
penghujung musim ini pengurusan pasukan terus berdiam diri dalam soal ini,''
katanya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4jBPzHrAB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan