Sabtu, 3 Jun 2017

Singa Utara berhak menang



ARKIB : 09/09/2005

Oleh Aizawati Ahmad
 KUANTAN - Jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan anak-anak buahnya berhak ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia setelah bermain cemerlang menentang pasukan Pahang di Stadium Darul Makmur kelmarin.

Beliau berkata, persembahan yang cukup menyakinkan khususnya di bahagian pertahanan banyak membantu pasukan Singa Utara itu mengekang asakan bertali arus Pahang.

Malah gandingan mantap permata hitam dari benua Afrika, Teofore Bennet dan Bernard Samuel Tchoutang turut gagal menembusi kekebalan benteng Perlis yang ternyata cukup ampuh untuk dirobek oleh kedua-dua penyerang import itu.

Abdul Rahman berkata, Tok Gajah merupakan sebuah pasukan yang baik, tetapi mereka seolah-olah ketandusan idea bagi mencari ruang untuk menjaringkan gol.

``Kita tidak memberi walau sedikit ruang pun kepada Pahang untuk mencipta gol dan sayang sekali, pasukan sebaik dan sebijak Pahang gagal untuk layak ke separuh akhir,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja perlawanan suku akhir kedua antara Pahang dan Perlis tamat, kelmarin.

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu juga menolak dakwaan bahawa Perlis sememangnya sudah merancang untuk mempersembahkan corak permainan bertahan menentang Pahang setelah mereka menang 3-1 pada pertemuan pertama di Perlis.

Abdul Rahman memberitahu, matlamat Singa Utara sewaktu turun ke Kuantan adalah untuk menang dan bukannya sekadar bertahan bagi mengekalkan keputusan yang ada.

``Kita turun ke Kuantan dengan satu matlamat iaitu untuk menang dan bukan datang untuk bertahan.

``Malah kita telah menduga sejak dari awal lagi yang Pahang akan bermain dengan corak menyerang bagi mencari gol awal,'' tegasnya.

Perlis yang juga merupakan juara bertahan bakal menentang Perak pada pertemuan peringkat separuh akhir 14 dan 18 September ini bagi merebut tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iwpNer2J
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan