Memaparkan catatan dengan label PERLIS 2005. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PERLIS 2005. Papar semua catatan

Ahad, 7 Mei 2017

Simukonda atasi kehebatan Chipeta



ARKIB : 03/02/2005

KANGAR - Keupayaan permata hitam baru Perlis, Zacharia Simukonda menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan pertama bola sepak Liga Super 2005 dilihat mampu memadamkan kehebatan bekas penyerang Singa Utara yang juga rakan senegaranya, Phillemon Chipeta yang kini tidak lagi bersama pasukan itu, lapor SUFFIAN ABU BAKAR.

Malah pemain tinggi lampai berusia 26 tahun itu mengotakan janjinya sebelum ini untuk menjaringkan gol kemenangan bagi membantu Perlis mengutip tiga mata penuh sewaktu pasukannya menewaskan MPPJ Selangor 3-2 di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Gol Simukonda yang terhasil tujuh minit sebelum perlawanan tamat membolehkan Perlis mencapai kemenangan pertama selepas seri 2-2 dengan Perak dalam perlawanan akhir Piala Sumbangsih, pembuka tirai liga itu Sabtu lalu.

Dia yang mula menyarung jersi Perlis musim ini turut menjaringkan dua gol sewaktu menentang Perak tempohari dan kini menjadi antara penjaring terbanyak liga dengan jumlah tiga gol selain Keita Mandjou dari Perak.

``Satu kepuasan bagi saya setelah berjaya menunaikan janji kepada peminat Perlis untuk menjaringkan gol semalam, kerana yang paling penting kami dapat pulang dengan tiga mata.

``Namun kejayaan semalam bukan disebabkan jaringan saya sahaja, sebaliknya ia hasil kerja keras semua pemain Perlis yang lain walaupun kita dua kali ketinggalan kepada lawan,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kangar, semalam.

MPPJ Selangor yang sebelum ini tewas 3-2 kepada Pahang tampil dengan misi mengutip kemenangan pertama dan seawal minit-13, bekas penyerang Telekom Melaka, Farid Dewan menjaringkan gol pertama pasukan bimbingan Reduan Abdullah itu.

Penyerang lincah Perlis, Zainuddin Ariffin kemudian menyamakan kedudukan pada minit-35 apabila bola rembatannya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol MPPJ, Yazid Yassin namun MPPJ kembali di depan apabila Sebastian Omar Manestrolo menyumbat gol kedua sebelum babak pertama ditamatkan.

Hasil percaturan bijak jurulatih Abdul Rahman Ibrahim, Perlis memperoleh dua gol pada babak kedua menerusi Muhammad Lamin Conteh Al-Hidayah pada minit-56.

Simukonda muncul sebagai wira Singa Utara pada minit 83 apabila mendapat bola hasil hantaran jauh Mohd. Ivan Yusoff untuk mengelecek dua pemain pertahanan MPPJ dan Yazid sebelum menguis masuk gol kemenangan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4gOM38LBi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 5 Mei 2017

Singa Utara dibarisi pemain lama

ARKIB : 03/01/2005

PERLIS membuka tirai 2005 dengan bertekad untuk mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia yang disandangnya tahun lalu selain membariskan hampir 80 peratus pemain yang pernah mewakili pasukan itu musim lalu.
Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, persembahan cemerlang skuad Singa Utara sehingga meraih gelaran Piala Malaysia buat pertama kali itu perlu diteruskan walaupun menyedari Perlis sudah pasti dicemburui pasukan-pasukan lawan lain bermula kempen Liga Super 2005 tidak lama lagi.
``Perlis berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan itu musim ini dan gandingan muka-muka lama dan baru yang akan membarisi skuad Biru Kuning akan bermain sebagai sebuah pasukan yang mantap.
``Saya juga berharap pemain Perlis tahun ini akan melakukan sesuatu bagi mencapai kejayaan manis seperti yang pernah kita kecapi musim lalu,'' katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Perlis berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Bola Sepak Perlis 2005 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Perlis, semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah pengurus Perlis, Adzmi Saad dan jurulatih baru pasukan Singa Utara, Abdul Rahman Ibrahim yang menggantikan Norizan Bakar yang kini berhijrah untuk memimpin pasukan Pulau Pinang.
Pada majlis itu, sebanyak 15 pemain termasuk dua muka baru iaitu Durahim Jamaludin @ Muktu dari Melaka dan Somchat Narong (Kedah) menandatangani kontrak untuk mewakili pasukan Singa Utara musim ini.
Seramai 13 pemain Singa Utara musim lalu yang hadir ialah Adrien Jurad Chamrong, Amran Omar, Yusri Che Lah, Mohd. Anis Faron Arsidi, Mohd. Nazaruddin Zain dan Rafiz Abu Bakar.
Turut serta Manzoor Azwira Abdul Wahid, Mohd. Khairi Zainuddin, Rusfazly Rahman, Roslee Md. Derus, Es Lizuan Zahid Amir, Azizi Mat Rose dan Zainuddin Ariffin.
Beberapa pemain Perlis yang belum menandatangani kontrak ialah Mohamad Kaironnisam Shahabudin Hussein yang kini mewakili pasukan kebangsaan, Feriza Ismail dan Mohd. Shahabuddin Kadir.
Perlis kehilangan dua pemain musim lalu iaitu Tengku Hazman Raja Hassan dan Faizal Esahar yang mengikut Norizan untuk mewakili skuad Harimau Kumbang musim ini.
Sementara itu, menurut Shahidan, khidmat dua pemain import Perlis iaitu Phillemon Chipeta dan Joao Bandoch dijangka dikekalkan dan kedua-dua pemain terbabit kini masih bercuti di negara masing-masing.
Nasib Mohammad Lamin Conteh Al-Hidayah pula sehingga kini masih belum diketahui.
``Kita bercadang untuk mengambil dua lagi pemain import dan ketika ini dua pemain dari Argentina baru tiba di Kangar untuk menyertai sesi latihan bersama pasukan dan jika sesuai kita akan ambil mereka.
``Pada masa yang sama, dua pemain skuad kebangsaan yang kini beraksi dalam Kejohanan Piala Tiger sedang kita intai dan sekiranya berhasil, pemain terbabit akan menyertai kem Perlis,'' katanya.
Perlis muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 83 tahun setelah menundukkan pasukan jiran, Kedah 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 4 Disember lalu.
Gol tunggal dalam perlawanan penuh dramatik itu terhasil berikutan kesilapan penjaga gol dan ketua pasukan Kedah, Megat Amir Faizal yang gagal mengkap bola lontaran Jurad Chamrong pada minit-7.
Pada majlis itu, Shahidan turut mengumumkan pelantikan Abdul Rahman yang pernah membimbing skuad Perlis pada tahun 1996 selama dua musim sebagai jurulatih baru Perlis.
Selain itu, bekas penjaga gol Singa Utara, Ali Osman sebagai pembantu jurulatih.
Menurut Shahidan, pihaknya yakin barisan pemain baru dan lama yang membarisi skuad Perlis musim ini mampu memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain seterusnya mempamerkan aksi cemerlang untuk memartabatkan kejayaan pasukan itu tahun ini.
``Saya menyeru semua pemain supaya membuktikan kemampuan mereka dalam kempen bola sepak tidak lama lagi untuk menaikkan imej pasukan Perlis serta mengekalkan tahap persembahan ke peringkat terbaik.
``Kejayaan Perlis bergantung kepada sejauh mana persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain dan mereka perlu ingat, bahawa setiap kejayaan yang dicapai oleh pasukan adalah hasil pengorbanan mereka,'' jelasnya.
Shahidan turut mengingatkan para pemain yang mengikat kontrak dengan Perlis supaya menjaga reputasi serta personaliti mereka daripada melakukan kegiatan yang berunsur negatif yang boleh merosakkan imej pasukan bola sepak negeri itu.