Jumaat, 29 September 2017

Saingan Piala Malaysia: Perlis rintis laluan sukar



ARKIB : 28/05/2007

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR – Saingan Piala Malaysia kian sampai ke kemuncak selepas lapan pasukan mengesahkan tempat ke suku akhir apabila mengharungi saingan paling getir perlawanan terakhir peringkat kumpulan Sabtu lepas.

Buat penyandang juara, Perlis jelas bernasib baik apabila melangkah ke suku akhir dan wajar mengucapkan terima kasih kepada Selangor yang menewaskan Telekom Melaka (TMFC) 3-2.

Biarpun Perlis menewaskan Johor FC 4-1 tetapi jika TMFC menang ke atas Selangor, peluang skuad Singa Utara pasti tersisih.

Begitu juga dengan Terengganu tunduk 2-0 kepada Melaka ketika mereka begitu inginkan kemenangan tetapi lega mara ke suku akhir berdasarkan kedudukan terbaik tangga ketiga.

Seperti yang diramalkan Selangor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan Naza sudah dijangka akan meloloskan diri untuk berada dalam kelompok lapan pasukan.

Bagaimanapun, menjelang saingan suku akhir pertama pada 9 Jun ini manakala saingan kedua pada 16 Jun ini menyaksikan juara musim lalu, Perlis merintis laluan paling sukar apabila dijadualkan bertemu Perak.

Pertemuan dua gergasi yang dinantikan oleh peminat kedua-dua pasukan dengan reputasi terkini Perak sukar diramalkan begitu juga dengan Perlis.

Kekuatan kedua-dua pasukan berdasarkan ketajaman di bahagian serangan Perak kerana adanya Keita Mandjou dan Traore Abdulaye manakala Perlis miliki Philimon Chepita dan Zachariah Simukonda.

Pertembungan yang cukup mencuri perhatian adalah pertemuan naib juara tahun lalu, Negeri Sembilan Naza berdepan Terengganu.

Namun, keupayaan kedua-dua pasukan di saingan Liga Super tampak kurang menyakinkan ketika prestasi masing-masing sukar dijangkakan.

Kekalahan Terengganu 0-2 kepada Melaka menjelaskan betapa keupayaan skuad dari Pantai Timur itu kian rapuh.

Turut menjadi tumpuan ialah pertemuan Selangor dan Sabah.

Selangor yang tersisih di peringkat suku akhir musim lalu, pastinya mahu menebus kekecewaan itu dan merampas kembali kejuaraan yang menjadi milik skuad Merah Kuning pada musim kegemilangan 2005.

Sabah yang dua kali dikecewakan untuk bergelar juara setelah tunduk kepada Selangor 0-1 pada 2002 dan MPPJ dengan keputusan 0-3 pada 2003, sedar tugas berat buat mereka.

Laluan paling mudah dirintis oleh Kedah yang dijadualkan berdepan Melaka.

Berdasarkan reputasi terkini, skuad Kedah selaku pendahulu Liga Super keupayaan mereka tidak dinafikan untuk mengetepikan saingan Melaka.

Atas kertas kelebihan jelas milik Kedah berbanding Melaka namun skuad dari negeri Hang Tuah itu boleh dianggap sebagai `underdog’.

Seperti mana mereka menewaskan Terengganu 2-0, Kedah seharusnya mengambil perhatian tidak menganggap tugas mudah ke atas Melaka.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u7ix6wEe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jaringan Chepita selamatkan Perlis



ARKIB : 16/05/2007

KOTA KINABALU – Phillemon Chepita menyelamatkan naib juara tahun lalu, Perlis daripada diaibkan Sabah apabila menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat lawan 2-2 pada perlawanan pertama suku akhir Piala FA, semalam.

Penyerang import dari Zambia itu menanduk masuk daripada sepakan sudut pada masa kecederaan perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu untuk mengembalikan peluang Singa Utara menjelang perlawanan ulangan di Kangar, 29 Mei ini.

Sebaliknya, Sabah mensia-siakan kelebihan dua gol pada minit ke-20 dan 43 masing-masing menerusi Prince Guy Atire dan Azrul Ejati Damsah sebelum dirapatkan oleh pemain Perlis, Nazaruddin Zain ketika baki tiga minit terakhir.

Gol pertama skuad Badak dihasilkan daripada sepakan deras Prince Guy Atire dari luar kotak penalti manakala Azrul Ejati Damsah menyudahkan umpanan Chow Chee Weng untuk gol kedua akibat kesilapan pemain pelawat, Rithaudeen Emran yang cuba menanduk keluar.

Nazaruddin bagaimanapun yang mendapat umpanan Ridzuan Othman, memulakan detik menghampakan tuan rumah dengan gol mengejut Perlis pada minit ke-87.

Sementara itu, dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, Johor-Pasir Gudang meraih modal agak selesa sebelum berkunjung ke Alor Star, 29 Mei ini apabila menumpaskan Kuala Muda 2-0.

Hairy Azly Mahamad membuka tirai gol menerusi sepakan percuma pada minit keempat sebelum tuan rumah mengukuhkan kedudukan ke atas kelab dari Kedah itu dengan jaringan minit terakhir oleh Mohd. Khairul Ismail.

Dalam satu perlawanan Liga Perdana, UPB-MyTeam merampas semula teraju liga daripada Polis selepas menundukkan Angkatan Tentera 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u4Yzgpg5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 24 September 2017

Perlis ancam tarik diri



ARKIB : 10/05/2007

Oleh JOHARI SHAWAL
KANGAR – Perlis mengancam akan memboikot perlawanan terakhir mereka dalam kempen bola sepak Piala Malaysia musim ini jika tiada penjelasan diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kontroversi perlawanan Perlis-Kuala Lumpur di Stadium Utama di sini minggu lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PFA akan bermesyuarat dalam waktu terdekat ini untuk mengambil keputusan itu jika FAM tidak mengambil sebarang tindakan terhadap aduan dan bantahan mereka.

"FAM jawablah soalan saya. Kalau mereka tidak berbuat demikian, kami akan ambil keputusan untuk tidak bermain dalam perlawanan terakhir kita," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Skuad Singa Utara dijadual bermain menentang Johor FC dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium JCorp, Pasir Gudang pada 26 Mei ini.

PFA telah mengemukakan bantahan rasmi menerusi faksimili kepada FAM berhubung kontroversi perlawanan Perlis-Kuala Lumpur yang antara lain meminta FAM memberi penjelasan mengenai mutu pengadilan serta jaringan penyamaan Kuala Lumpur yang mencetuskan kontroversi.

Dalam perlawanan itu, Perlis tumpas 2-1 sekali gus menyukarkan peluang pasukan juara bertahan itu untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

Menurut Shahidan, PFA telah menghantar salinan rakaman video mengenai kontroversi itu terutama jaringan penyamaan Kuala Lumpur dalam perlawanan itu.

"Kami sudah hantar semuanya (pita video dan surat bantahan), kalau FAM tidak juga beri penjelasan dan mengambil apa-apa tindakan, kami tidak mahu bermain pada perlawanan terakhir nanti," katanya.

Bagaimanapun Shahidan berkata, Perlis akan terus bermain dalam kempen Liga Super dan Piala FA.

Menteri Besar Perlis itu turut menafikan akan mengundur diri daripada melibatkan diri dalam sukan bola sepak sama ada di peringkat negeri atau FAM.

"Itu tidak timbul sebab Presiden PFA dipilih oleh persatuan ini sendiri," katanya ringkas.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4taHZEzJe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 21 September 2017

Lemah semangat punca Perlis tewas



ARKIB : 02/03/2007

Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED

KANGAR – Tiada krisis dalaman atau gaji tidak dibayar tetapi punca kekalahan skuad bola sepak Perlis hanyalah satu iaitu kelemahan barisan pemain di bahagian tengah.

Ditambah dengan tekanan oleh pasukan bawahan yang berlumba-lumba untuk menjatuhkannya, sikap sesetengah pemain yang kurang bersemangat juga dikesan antara punca kekalahan.

Begitu pengakuan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Jamil Saad ketika diminta mengulas mengenai kekalahan demi kekalahan yang ditempa Singa Utara sejak kebelakangan ini.

Bermula kekalahan kepada pasukan Kedah dalam saingan Liga Super pada 21 Februari lalu, rekod tanpa kalah Perlis juga dileburkan oleh Selangor tiga hari kemudian ketika kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Kekalahan ketiga Perlis apabila menentang pasukan Pulau Pinang malam kelmarin, menambah parah Singa Utara yang kini ditendang ke tangga kedua Liga Super di belakang Brunei.

Menurut Jamil, Perlis sememangnya diakui tidak mempunyai pemain yang betul-betul ‘menjiwai’ peranan di bahagian tengah.

Jelasnya, pemain sedia ada iaitu Azi Shahril Azmi pula dilihat kurang bersemangat dan tidak memberikan tumpuan sepenuhnya sejak akhirakhir ini.

‘‘Tidak diketahui mengapa Azi Shahril kelihatan agak perlahan. Berikutan itu, dua pemain iaitu Fauzi Nan dan Mohd. Nazarudin Zain yang sebelum ini merupakan pertahanan kiri serta kanan terpaksa ditukarkan ke bahagian tengah.

‘‘Mereka berdua ini bukannya pemain yang dibentuk sepenuhnya untuk mengawal bahagian tengah. Apabila ditukarkan ke bahagian itu, sudah pasti akan menimbulkan sedikit masalah.

‘‘Francis Kombe yang diharap dapat mengawal bahagian tengah juga kadang-kadang terpaksa dikerah untuk memantapkan posisi serangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Jamil berkata, berikutan tiga kekalahan yang dialami, Perlis nekad untuk memberikan fokus yang lebih pada perlawanan akan datang.

Ketika ditanya mengenai mengapa Pengurus Pasukan, Adzmi Saad tidak berada di bahagian pemain simpanan ketika perlawanan menentang Pulau Pinang malam kelmarin sehingga menimbulkan ‘suara sumbang’, beliau berkata:

‘‘Kita tidak ada krisis dalaman. Harap jangan ada yang membuat spekulasi sedemikian. Kalau ada yang kata kita tidak bayar gaji pemain pula, itu juga tidak tepat.”

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tKtphepI
© Utusan Melayu (M) Bhd