ARKIB : 21/11/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
PASUKAN Perlis akan berwajah baru
untuk menghadapi saingan Liga Super 2004 tahun hadapan, dengan menyaksikan
kemasukan beberapa pemain terkenal tempatan ter-masuk penamatan kontrak
beberapa pemain yang sedia ada dalam pasukan tersebut.
Antara pemain tempatan yang
disahkan bakal beraksi untuk Perlis ialah Yusri Che Lah (Perak), Zainuddin
Ariffin dan Manzoor Azwira Abdul Wahid (Kedah), Mohd. Khairi Zainuddin dan
Fadzil Azhar (Telekom Melaka) serta Mohd. Arman Zairi Mohd. Johan (Kelantan).
Selain itu, kontrak lima pemain
Perlis tidak diperbaharui berikutan perpindahan ke negeri, masalah kecederaan
serta persembahan yang tidak meyakinkan sepanjang kempen Piala Malaysia musim
2003 lalu.
Pengurus Perlis, Adzmi Saad
memberitahu, lima pemain terbabit ialah Wirat Nom, Khairun Haled Masrom, Che
Zambil Ahmad, Zulfakri Ashaari dan Suhairi Abdul Karim.
Katanya, Perlis juga sedang
mencari dua pemain import iaitu masing-masing seorang dari Zambia, Sierra Leone
dan Cameroon, serta dua pemain dari India untuk digandingkan dengan awang
import mereka ketika ini, Philemon Chipeta dan Lamin Conteh Jr.
``Lima pemain luar itu akan turun
menjalani latihan skuad Perlis pada 1 Disember ini dan jika sesuai kita akan
mengikat kontrak dengan seorang atau dua daripada mereka,'' katanya ketika
dihubungi di Kangar, semalam.
Perlis merupakan antara lapan
pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super 2004 selain Kedah, Perak, Pulau
Pinang, Sabah, Sarawak, Pahang dan Public Bank.
Menurut Adzmi, majlis
menandatangani kontrak pemain terbabit telah diadakan minggu lalu manakala
kontrak pemain import iaitu Chipeta dan Conteh Jr termasuk dua pemain baru akan
diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Beliau berkata, pemain-pemain
lain yang masih kekal bersama skuad Singa Utara untuk kempen tahun depan ialah
Tengku Hazman Raja Hassan, Khaironnisam Shahabuddin Hussein, Roslee Md Derus
serta penjaga gol, Amran Omar.
``Insyaallah dengan gandingan
barisan baru Perlis ini, mereka akan memberikan saingan sebaik mungkin dalam
menghadapi Liga Super yang akan memulakan perlawanannya pada 17 Januari
depan,'' katanya.
Singa Utara mencatat kejayaan
manis sepanjang musim bola sepak tempatan 2003 lalu apabila menduduki tempat
ketiga Liga Perdana Satu, naib johan Piala FA dan melayakkan diri dalam separuh
akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada penyandang juara piala itu, MPPJ
Selangor.
Adzmi berkata, kesemua pemain
yang memulakan latihan singkat bermula minggu lalu sehingga esok, akan bercuti
menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum memulakan kembali latihan pada 1
Disember ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dhtyeRmv
© Utusan Melayu (M) BhdS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan