Jumaat, 7 April 2017

Amaran Perlis kepada MPPJ - Jangan anggap kami sudah terkeluar



ARKIB : 24/09/2003

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
 SINGA Utara tidak menganggap mereka telah tersingkir daripada saingan merebut dua tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2003 meskipun lawan mereka, MPPJ Selangor kini berbekalkan kelebihan dua gol.

Sebaliknya, pengurus pasukan Perlis, Adzmi Saad berkata, perlawanan masih berbaki 90 minit di Stadium Utama Kangar, Sabtu ini dan Perlis tidak akan menyerah kalah begitu mudah kepada skuad MPPJ yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh.

``Sungguhpun MPPJ selesa dengan kelebihan dua gol, ini tidak bermakna perjuangan Perlis telah selesai kerana perlawanan Sabtu ini yang bakal menentukan dua pasukan yang layak ke akhir,'' katanya kepada Sukan Utusan di Kangar, semalam.

MPPJ menewaskan Perlis 3-1 dalam pertemuan separuh akhir pertama di Stadium MPPJ Petaling Jaya Sabtu lalu.

Gol-gol MPPJ dijaringkan oleh dua penyerang import mereka, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto serta Aiman Firdaus Tan Abdullah.

Gol tunggal Perlis dihasilkan oleh penyerang import mereka dari Zambia, Philimon Chipeta.

Adzmi berkata, situasi yang sama pernah berlaku dalam separuh akhir Piala FA 2003 pada bulan Mei lalu apabila mereka ketinggalan dengan agregat 1-0 kepada Johor FC di tempat sendiri.

``Perlis akhirnya layak ke perlawanan akhir setelah menewaskan Johor FC dalam perlawanan kedua dengan mencatat agregat 4-3 biar pun kami bermain di tempat lawan,'' katanya.

Hakikat itu menurut Adzmi, bukan bermakna Perlis bermegah dan yakin dapat menundukkan MPPJ dalam perlawanan Sabtu ini, namun semangat Perlis yang mampu bangkit pada babak-babak terakhir tidak mustahil boleh berulang.

``Itulah bola sepak dan macam-macam boleh berlaku. Selain mengharapkan keajaiban berlaku, usaha Perlis perlu dilipat gandakan menjelang pertemuan penting Sabtu ini,'' tegasnya.

Kesemua pemain utama Perlis katanya, tidak menghadapi masalah untuk diturunkan dalam perlawanan hujung minggu ini selain Singa Utara mendapat semula khidmat pemain pertahanannya, Adrien Jurad Chamrong yang digantung satu perlawanan setelah menerima kad kuning ketiga.

``Matlamat Perlis hanya satu pada perlawanan Sabtu ini, iaitu perlu menewaskan MPPJ dengan kelebihan dua gol. Kalah bererti pintu ke final sudah tertutup untuk Singa Utara,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dZtkeD7W
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan