ARKIB : 13/08/2003
PERLIS yang diundi bersama dua
pasukan elit, Sarawak dan Negeri Sembilan dalam kumpulan B Piala Malaysia
bermula 20 Ogos ini tetap menghormati keupayaan dua pasukan itu walaupun
kedudukan Liga Perdana yang berakhir 2 Ogos lalu lebih memihak kepada Singa
Utara.
Pengurus Perlis, Adzmi Saad
berkata, walaupun pasukannya pernah bertemu dengan tiga pasukan dalam kumpulan
B termasuk Telekom Melaka, saingan Piala Malaysia kali ini dianggap sengit dan
berbeza dari Liga Perdana Satu.
Baginya, setiap pasukan
masing-masing sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan pasukan lain dan sudah
tentu juga setiap pasukan itu ingin menang dan berkemampuan untuk layak ke
pusingan seterusnya.
``Sehubungan itu, Perlis meminta
semua pemainnya melupakan kedudukan kita di tempat ketiga dalam saingan liga
dan sebaliknya menganggap mereka sebagai pasukan bukan pilihan (underdog),''
katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Baginya, juara Piala FA 2003,
Negeri Sembilan yang menewaskan pasukan Singa Utara 2-1 dalam perlawanan akhir
piala itu pada 31 Mei lalu tetap dianggap musuh walaupun skuad Rusa musim ini
bersaing dalam Liga Perdana Dua.
Begitu juga dengan Telekom Melaka
yang pernah `mencalarkan' peluang Perlis untuk mengejar kedudukan pendahulu
liga apabila berjaya mengikat Perlis 2-2 pada 12 Julai lalu untuk menyukarkan
peluang mereka mengejar Perak dan Kedah.
Adzmi menegaskan, Sarawak pula
sudah pasti akan memberi tentangan sengit dalam misi membalas dendam menjelang
pertemuan Piala Malaysia nanti apabila skuad bimbingan Abdul Jalil Ramli itu
pernah dimalukan di tempat sendiri dengan jaringan 4-3 dalam perlawanan Liga M
pada 29 Julai lalu.
Bagaimanapun katanya, keputusan
dan kedudukan saingan Liga Perdana sudah berakhir dan tidak harus diambil kira
kerana Liga Perdana dan Piala Malaysia adalah berbeza.
``Kita mahu semua pemain Perlis
melupakan peristiwa dalam saingan Liga M dahulu kerana ia berbeza dengan Piala
Malaysia apatah lagi kali ini semua pasukan sudah pasti mahu memenangi setiap
perlawanan,'' ujar beliau.
Singa Utara yang mencipta sejarah
tersendiri dengan menduduki tempat ketiga musim ini bakal berdepan dengan
Telekom Melaka pada 20 Ogos, seterusnya Negeri Sembilan (23 Ogos), kedua-duanya
di Stadium Utama Kangar sebelum bertandang ke Stadium Kuching untuk menentang
Sarawak pada 27 Ogos dalam pusingan pertama kumpulan B.
Pada pusingan kedua pula, Perlis
akan melayan Sarawak di tempat sendiri pada 30 Ogos sebelum bertandang ke
Stadium Hang Tuah, Melaka untuk menentang Telekom Melaka (4 September) dan
Negeri Sembilan (6 September).
Kata Adzmi, para pemain Perlis
dipesan agar berwaspada dengan tiga lawan yang bakal mereka hadapi tidak lama
lagi serta memberikan persembahan yang mantap serta komitmen yang tinggi
seratus peratus.
``Jangan anggap mudah kepada
setiap pasukan yang akan bertarung dengan Perlis kerana masing-masing mempunyai
kelebihan tersendiri,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dHENYTfe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan