Selasa, 4 April 2017

Perlis tetap hormati lawan



ARKIB : 13/08/2003
PERLIS yang diundi bersama dua pasukan elit, Sarawak dan Negeri Sembilan dalam kumpulan B Piala Malaysia bermula 20 Ogos ini tetap menghormati keupayaan dua pasukan itu walaupun kedudukan Liga Perdana yang berakhir 2 Ogos lalu lebih memihak kepada Singa Utara.

Pengurus Perlis, Adzmi Saad berkata, walaupun pasukannya pernah bertemu dengan tiga pasukan dalam kumpulan B termasuk Telekom Melaka, saingan Piala Malaysia kali ini dianggap sengit dan berbeza dari Liga Perdana Satu.

Baginya, setiap pasukan masing-masing sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan pasukan lain dan sudah tentu juga setiap pasukan itu ingin menang dan berkemampuan untuk layak ke pusingan seterusnya.

``Sehubungan itu, Perlis meminta semua pemainnya melupakan kedudukan kita di tempat ketiga dalam saingan liga dan sebaliknya menganggap mereka sebagai pasukan bukan pilihan (underdog),'' katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.

Baginya, juara Piala FA 2003, Negeri Sembilan yang menewaskan pasukan Singa Utara 2-1 dalam perlawanan akhir piala itu pada 31 Mei lalu tetap dianggap musuh walaupun skuad Rusa musim ini bersaing dalam Liga Perdana Dua.

Begitu juga dengan Telekom Melaka yang pernah `mencalarkan' peluang Perlis untuk mengejar kedudukan pendahulu liga apabila berjaya mengikat Perlis 2-2 pada 12 Julai lalu untuk menyukarkan peluang mereka mengejar Perak dan Kedah.

Adzmi menegaskan, Sarawak pula sudah pasti akan memberi tentangan sengit dalam misi membalas dendam menjelang pertemuan Piala Malaysia nanti apabila skuad bimbingan Abdul Jalil Ramli itu pernah dimalukan di tempat sendiri dengan jaringan 4-3 dalam perlawanan Liga M pada 29 Julai lalu.

Bagaimanapun katanya, keputusan dan kedudukan saingan Liga Perdana sudah berakhir dan tidak harus diambil kira kerana Liga Perdana dan Piala Malaysia adalah berbeza.

``Kita mahu semua pemain Perlis melupakan peristiwa dalam saingan Liga M dahulu kerana ia berbeza dengan Piala Malaysia apatah lagi kali ini semua pasukan sudah pasti mahu memenangi setiap perlawanan,'' ujar beliau.

Singa Utara yang mencipta sejarah tersendiri dengan menduduki tempat ketiga musim ini bakal berdepan dengan Telekom Melaka pada 20 Ogos, seterusnya Negeri Sembilan (23 Ogos), kedua-duanya di Stadium Utama Kangar sebelum bertandang ke Stadium Kuching untuk menentang Sarawak pada 27 Ogos dalam pusingan pertama kumpulan B.

Pada pusingan kedua pula, Perlis akan melayan Sarawak di tempat sendiri pada 30 Ogos sebelum bertandang ke Stadium Hang Tuah, Melaka untuk menentang Telekom Melaka (4 September) dan Negeri Sembilan (6 September).

Kata Adzmi, para pemain Perlis dipesan agar berwaspada dengan tiga lawan yang bakal mereka hadapi tidak lama lagi serta memberikan persembahan yang mantap serta komitmen yang tinggi seratus peratus.

``Jangan anggap mudah kepada setiap pasukan yang akan bertarung dengan Perlis kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dHENYTfe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan