Ahad, 2 April 2017

Perlis tidak mahu mendabik dada



ARKIB : 07/07/2003
PERLIS tidak bersikap mendabik dada biarpun kini menghuni tangga kedua Liga bola sepak Perdana Satu di belakang Perak, selepas kejayaan menundukkan Melaka 4-1 di Stadium Utama Kangar, kelmarin, lapor SUFFIAN ABU BAKAR.

Sebaliknya, Singa Utara yang semakin serasi dengan dua tonggak berbisa dari Afrika, Phillemon Chipieta dan Lamin Conteh Jr. berwaspada untuk menghadapi negeri jiran, Kedah dalam pertemuan di Stadium Darulaman, Selasa ini.

Kekalahan Kedah kepada Kelantan 2-1 kelmarin membolehkan skuad bimbingan Norizan Bakar itu memintas tangga kedua liga yang sebelum ini dihuni oleh Kedah, seterusnya mengejar Perak yang kini berada di depan dengan kelebihan tiga mata.

Jika menang ke atas Kedah, diikuti Perak kalah kepada Johor FC Selasa ini akan mencerahkan peluang Singa Utara untuk mencabar kedudukan pendahulu liga, dengan baki perlawanan yang hanya tinggal empat permainan bagi Perlis.

Pengurus pasukan Perlis, Adzmi Saad berkata, beliau berpuas hati dengan mutu persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya dalam perlawanan menentang Melaka kelmarin.

``Cuma pemain Perlis banyak terpedaya dengan perangkap off-side yang dilakukan oleh pertahanan Melaka menyebabkan kita terlepas peluang menjaringkan lebih banyak gol,'' katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.

Apa pun, katanya, beliau telah mengarahkan para pemain melupakan kejayaan kelmarin sebaliknya memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Kedah.

Dalam perlawanan kelmarin, Perlis yang mula mengasak seawal perlawanan mendapat jaringan pada minit ke-3 hasil rembatan cantik Conteh Jr. yang melencong untuk menewaskan penjaga gol Melaka, Zainal Rabin.

Gol itu berpunca daripada hantaran Chipieta dari sebelah kiri pintu gol sebelum ditanduk oleh pemain pertahanan Melaka dan tiba tepat ke kaki Conteh Jr.

Perlis turun tanpa penjaga gol utamanya, Amran Omar yang menghidap demam terus mengasak dan memperoleh beberapa peluang untuk menambah jaringan gol tetapi berjaya diselamatkan oleh Zainal.

Melaka pula yang turun tanpa penyerang harapan mereka, Halim Jantan kerap menguji kecekapan penjaga gol Perlis, Mohd. Anis Faron melalui gandingan tiga penyerang, Mohd. Sufian Shamsubari, Tuan Rosli Tuan Shaari dan Emir Dzafic namun buntu untuk mencari gol penyamaan.

Pada minit ke-41, Che Zambil Ahmad menanduk bola hasil hantaran Rosle Md. Derus untuk menjadikan kedudukan berubah kepada 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan Chipieta merembat kencang dengan kaki kiri pada minit ke-61 hasil hantaran Che Zambil untuk menjaringkan gol ketiga Perlis.

Derita Melaka ditambah oleh jaringan cantik Conteh Jr. pada minit ke-75 hasil gerakan satu-dua antara Conteh Jr. dengan pemain gantian, Rafiz Abu Bakar bagi melengkapkan jaringan ketiga peribadi baginya.

Bagaimanapun, kealpaan barisan pertahanan Perlis pada minit-minit terakhir dihukum oleh Mohd. Sufian yang menjaringkan gol tunggal bagi Melaka pada minit ke-89.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4d5EdQJTd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan