Khamis, 14 Disember 2017

Wing Hong sertai Singa Utara

ARKIB : 31/12/2008
KANGAR - Kelicinan pentadbiran Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), khidmat jurulatih berpengalaman dan masa depan pasukan yang kelihatan mantap menjadi faktor utama mengapa Singa Utara menjadi pilihan bekas pemain pertahanan Perak, Chan Wing Hoong.

Pemain berusia 31 tahun yang sebelum ini menyertai pasukan Brunei DPMM berkata, beliau sangat teruja untuk memulakan latihan bersama pasukan barunya itu terutama dalam memburu Piala Malaysia tahun depan.

''Saya sangat gembira kerana dapat berkhidmat dengan pasukan Singa Utara di bawah jurulatih berpengalaman, Irfan bakti Abu Salim yang merupakan antara jurulatih yang disenangi ramai.

''Melalui penelitian yang dilakukan saya juga mendapati PFA merupakan salah sebuah persatuan yang mempunyai pentadbiran yang bagus dan kurang menimbulkan masalah serta menjaga kebajikan pemainnya," katanya di sini, semalam.

Wing Hoong berkata demikian selepas majlis menandatangani kontrak perjanjian bersama PFA selama dua tahun.

''Saya berasa bertuah kerana pengurus pasukan Perlis, Mohd. Nor Aziz terus menghubungi saya selepas pembatalan pasukan Brunei DPMM oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada menyertai Liga Malaysia 2009," jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51FTf5APL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlis selamatkan Wing Hoong dari Brunei


 

ARKIB : 26/12/2008
Chan Wing Hoong

KUALA LUMPUR - Bekas pemain Perak, Chan Wing Hoong yang sebelum ini menandatangani kontrak bersama pasukan DPMM Brunei bakal disambar oleh Perlis, lapor FERZALFIE FAUZI.

Pemain yang berasal dari Ipoh itu terpaksa mencari pasukan baru selepas DPMM Brunei menghadapi masalah pembatalan pendaftaran persatuan bola sepak negara itu Perdaftar Pertubuhan Brunei.

Menurut Pengurus pasukan Perlis, Mohd. Noor Aziz berkata, Wing Hoong dijangka akan menandatangani kontrak baru bersama Perlis esok, selepas selesai urusan surat pelepasan bersama pasukan kelab negara Brunei itu.

''Sekarang, dia (Wing Hoong) masih lagi di Brunei menguruskan surat pelepasannya di sana dan DPMM sendiri telah bersetuju untuk mengeluarkan surat tersebut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, Perlis tidak menunggu lama untuk menghubungi Wing Hoong sebaik sahaja berita mengenai pembatalan pasukan DPMM Brunei keluar Selasa lalu.

''Ketika kami menghubunginya dia menyatakan persetujuan untuk mewakili Perlis dan memberi tempoh beberapa hari untuk menyelesaikan urusannya di Brunei.

''Jika tidak ada aral melintang Wing Hoong akan tiba Sabtu ini (esok) dan terus menandatangani kontrak untuk bermain di sini,'' katanya.

Ditanya kenapa Wing Hoong bersetuju untuk mewakili Perlis, Mohd. Noor berkata, selain menganggap pasukan Singa Utara mempunyai nama yang besar dalam liga tempatan, ramai bekas rakan sepasukannya (Perak) berhijrah ke sini.

''Dia berasa senang untuk bersama kami kerana ramai rakannya ketika bermain bersama skuad Perak berhijrah ke Perlis, antaranya Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Danial Fazly Abdullah dan Yusri Che Lah.

''Sekali lagi saya nyatakan di sini memang sah Wing Hoong akan menyertai kami,'' kata Mohd. Noor.

Selain beraksi di pertahanan kiri Wing Hoong juga tidak kekok untuk diletakkan di bahagian sayap kiri.

Pemain berusia 31 tahun itu beraksi bersama pasukan Seladang dari 1998 hingga 2005 sebelum berhijrah ke Selangor MPPJ bersama rakan sepasukan K. Nanthakumar pada 2006.

Dia kemudiannya kembali ke Perak pada 2007 dan pernah mewakili pasukan kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa, antaranya Piala Tiger 2002, Pestabola Merdeka 2006 dan Kejohanan AFF 2007.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51FKhJLsm

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 Disember 2017

Irfan turun padang cari muka baru

ARKIB : 08/10/2008
KUALA LUMPUR – Ketika pasukan lain sibuk memancing pemain untuk menghadapi musim baru Perlis juga tidak ketinggalan mengintai beberapa pemain bagi memperkasakan pasukan.

Jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pencarian pemain baru untuk menampung kekosongan yang ditinggalkan pemain import giat dijalankan walaupun Liga Super akan bermula Januari depan.

‘‘Saya sendiri turun padang dan berbincang dengan beberapa pemain yang sudah dikenalpasti mampu untuk memberi impak besar kepada pasukan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, beberapa pemain dari kelab yang berpangkalan di ibu negara menjadi buruan skuad Singa Utara untuk musim baru nanti, antaranya ialah tengah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Nizam Abu Bakar.

‘‘Ketika ini saya berada di Kuala Lumpur untuk berbincang dengan Nizam, jika tidak ada aral melintang dia akan membariskan skuad Perlis musim depan.

‘‘Saya juga akan berbincang dengan beberapa pemain dari pasukan berstatus kelab yang dilihat berpotensi untuk digandingkan dengan pemain muda Perlis,’’ kata Irfan.

Nizam sebelum ini pernah mendapat bimbingan Irfan ketika bersama pasukan Telekom Melaka dan beberapa kali dipanggil untuk menyertai latihan skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, Perlis juga cuba untuk mencari penjaga gol baru selepas penjaga gol yang dipinjam dari Melaka, Zainal Rabin disambar oleh pasukan Felda United.

‘‘Kami masih lagi mencari penjaga gol baru dan berminat dengan penjaga gol dari sebuah pasukan berstatus kelab di pantai timur.

‘‘Selain itu kami juga akan mencuba beberapa pemain daripada pasukan lain termasuk dua orang dari Perak ketika bermulanya latihan minggu depan,’’ kata Irfan.

Tambah Irfan, beberapa tiga orang lagi pemain dari Piala Presiden akan menyertai skuad utama yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain muda.

‘‘Kita cuba untuk menerapkan pemain muda seperti mana yang dilakukan dengan jayanya oleh pasukan Kedah, tambahan pula dengan ketiadaan pemain import dapat memberi ruang kepada mereka untuk mempamerkan kebolehan masing-masing.

‘‘Tumpuan saya menjelang musim baru ini ialah memantapkan pasukan di setiap bahagian dan berharap enam lagi pemain baru menyertai kami,’’ katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz50rqTD13p

© Utusan Melayu (M) Bhd