ARKIB : 26/05/1998
Singa baham Brunei
AKSI garang Perlis meranap
hajat Brunei untuk membawa pulang mata penuh apabila dibaham 1-3 dalam
perlawanan Perdana Satu di Stadium Utama, Kangar, malam tadi.
Penyerang Perlis, Henry Acquah
menjadi wira apabila menyumbat dua daripada tiga gol pada minit ke-44 dan 76
manakala satu lagi gol disumbangkan oleh Kiatisuk Senamuang.
Gol tunggal Brunei dijaringkan
oleh pemain importnya yang berasal dari Australia, Mohd. Brian Iman pada minit
ke-75.
Perlawanan bermula dengan aksi
hambar dari kedua-dua belah pihak yang menyaksikan tiada sebarang percubaan
bahaya yang boleh menggusarkan penonton.
Babak cemas mula tercetus pada
minit ke-22 apabila tandukan tajam Acquah yang yang mendapat bola daripada
sepakan percuma Kiatisuk Senamuang, terkena tiang gol menyebabkan bola singgah
ke kaki Mohammed Akrane yang berada betul-betul di depan pintu gol.
Bagaimanapun, kelewatan Akrane
menolak bola ke gawang memberi peluang kepada penjaga gol Brunei, Ibrahim Abu
Bakar menepis bola ke luar dari kawasan bahaya.
Kekebalan kubu pertahanan
Brunei akhirnya rapuh jua pada minit ke-39 apabila Perlis berjaya memecah
kebuntuan bagi mendahului pasukan pelawat menerusi penyerang importnya,
Kiatisuk.
Segala-galanya bermula daripada
Mohd. Shukrin Saad yang menyelamatkan bola daripada terkeluar dari garisan
ofside lalu melantunkan bola kepada Akrane.
Akrane yang membaca kedudukan
Kiatisuk yang tidak dikawal di depan pintu melantunkan bola kepada pemain kelahiran
Thailand itu sebelum dirembat kencang ke gawang.
Pelawat bertambah sengsara
apabila tuan rumah berjaya menambah satu lagi gol bagi menjarakkan jurang
seminit sebelum pengadil Mat Lazim Awang Hamat meniup wisel rehat.
Acquah yang mendapat umpanan
dari Mohd. Zulfakri melakukan satu rembatan kencang yang terkena badan Ibrahim
sebelum bola bergolek ke dalam gol.
Seawal babak kedua Brunei
bertindak lebih garang dengan mengatur lebih banyak serangan ke kubu pertahanan
tuan rumah dalam usaha mencari gol penyamaan selepas ketinggalan pada babak
pertama.
Peluang terbaik diperolehi
menerusi Brian pada minit ke-57 namun sepakannya hanya menyaksikan bola terkena
palang.
Nasib sekali lagi tidak
menyebelahi Brian apabila tandukannya pada minit ke-70 terkena palang selepas
menerima hantaran dari sepakan percuma rakannya.
Usaha Brian untuk merapatkan
jurang gol akhirnya terhasil lima minit selepas itu melalui sepakan jarak
jauhnya yang berjaya menewaskan kecekapan Rosman Hussin.
Kegembiraan Brunei tidak lama
apabila Singa Utara membuat serangan balas ke kubu pertahanan Brunei sekali gus
membolosi gawang menerusi Acquah seminit selepas itu.
Mohd. Zalmie Jamlus yang tidak
dicabar oleh pemain lawan melakukan larian solo sebelum mengumpan cantik kepada
Acquah yang berada di depan gawang bagi membuat penyudahan bagi Perlis
mendahului lawan 3-1.
Oleh: YUSRI SAHAT
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JqQ5fBdq
© Utusan Melayu (M) Bhd