Sabtu, 10 September 2016

Singa baham Brunei

ARKIB : 26/05/1998
Singa baham Brunei
AKSI garang Perlis meranap hajat Brunei untuk membawa pulang mata penuh apabila dibaham 1-3 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Utama, Kangar, malam tadi.

Penyerang Perlis, Henry Acquah menjadi wira apabila menyumbat dua daripada tiga gol pada minit ke-44 dan 76 manakala satu lagi gol disumbangkan oleh Kiatisuk Senamuang.

Gol tunggal Brunei dijaringkan oleh pemain importnya yang berasal dari Australia, Mohd. Brian Iman pada minit ke-75.

Perlawanan bermula dengan aksi hambar dari kedua-dua belah pihak yang menyaksikan tiada sebarang percubaan bahaya yang boleh menggusarkan penonton.

Babak cemas mula tercetus pada minit ke-22 apabila tandukan tajam Acquah yang yang mendapat bola daripada sepakan percuma Kiatisuk Senamuang, terkena tiang gol menyebabkan bola singgah ke kaki Mohammed Akrane yang berada betul-betul di depan pintu gol.

Bagaimanapun, kelewatan Akrane menolak bola ke gawang memberi peluang kepada penjaga gol Brunei, Ibrahim Abu Bakar menepis bola ke luar dari kawasan bahaya.

Kekebalan kubu pertahanan Brunei akhirnya rapuh jua pada minit ke-39 apabila Perlis berjaya memecah kebuntuan bagi mendahului pasukan pelawat menerusi penyerang importnya, Kiatisuk.

Segala-galanya bermula daripada Mohd. Shukrin Saad yang menyelamatkan bola daripada terkeluar dari garisan ofside lalu melantunkan bola kepada Akrane.

Akrane yang membaca kedudukan Kiatisuk yang tidak dikawal di depan pintu melantunkan bola kepada pemain kelahiran Thailand itu sebelum dirembat kencang ke gawang.

Pelawat bertambah sengsara apabila tuan rumah berjaya menambah satu lagi gol bagi menjarakkan jurang seminit sebelum pengadil Mat Lazim Awang Hamat meniup wisel rehat.

Acquah yang mendapat umpanan dari Mohd. Zulfakri melakukan satu rembatan kencang yang terkena badan Ibrahim sebelum bola bergolek ke dalam gol.

Seawal babak kedua Brunei bertindak lebih garang dengan mengatur lebih banyak serangan ke kubu pertahanan tuan rumah dalam usaha mencari gol penyamaan selepas ketinggalan pada babak pertama.

Peluang terbaik diperolehi menerusi Brian pada minit ke-57 namun sepakannya hanya menyaksikan bola terkena palang.

Nasib sekali lagi tidak menyebelahi Brian apabila tandukannya pada minit ke-70 terkena palang selepas menerima hantaran dari sepakan percuma rakannya.

Usaha Brian untuk merapatkan jurang gol akhirnya terhasil lima minit selepas itu melalui sepakan jarak jauhnya yang berjaya menewaskan kecekapan Rosman Hussin.

Kegembiraan Brunei tidak lama apabila Singa Utara membuat serangan balas ke kubu pertahanan Brunei sekali gus membolosi gawang menerusi Acquah seminit selepas itu.

Mohd. Zalmie Jamlus yang tidak dicabar oleh pemain lawan melakukan larian solo sebelum mengumpan cantik kepada Acquah yang berada di depan gawang bagi membuat penyudahan bagi Perlis mendahului lawan 3-1.

Oleh: YUSRI SAHAT

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4JqQ5fBdq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan