ARKIB : 17/05/2009
KUALA LUMPUR - Perlis masih
mengungguli tangga teratas Liga Super tetapi hanya dengan kelebihan satu mata
selepas membenam cabaran Kelantan 2-0 di Stadium Utama, Kangar semalam.
Skuad bimbingan Irfan Bakti
memastikan tiga mata penuh, untuk 35 mata keseluruhan setakat ini menerusi
jaringan Mohd. Firdaus Fauzi minit ke-12 dan sepakan penalti penyerang
kebangsaan Mohd. Nizaruddin Yusof pada minit ke-38.
Kekalahan kelima Kelantan semalam
menyebabkan naib juara Piala FA musim ini turun satu anak tangga di tangga
keenam, dipintas Johor FC yang menang 3-0 ke atas Terengganu.
Di Stadium Shah Alam, juara Piala
FA musim ini Selangor hanya menang tipis 1-0 ke atas Pulang Pinang dengan Rudie
Ramli menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58.
Kedudukan skuad K. Devan di
tangga kedua liga juga masih belum tergugat dengan 34 mata.
Kedah pula meneruskan rentak
kemenangan untuk kekal di tangga ketiga dengan 31 mata selepas menundukkan
Perak 3-1 di Stadium Darulaman, Alor Star.
Pasukan tuan rumah selesa
mendahulu tiga gol menerusi Mohd. Fauzi Shaari (m-35), Mohd. Khyril Muhymeen
(m-48) dan Shahrul Nizam Mustapa (m-54) sebelum Isma Alif Mohd Salim
menjaringkan gol sagu hati pasukan pelawat pada minit ke-74.
Jaringan Zaquan Adha Abd. Razak
pada minit ke-27 dan minit ke-60 disusuli Idris Karim (m-71) memastikan Negeri
Sembilan kekal di tangga keempat liga dengan 30 mata apabila membenam Pahang
3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Di Stadium JCorp, Pasir Gudang,
ketiadaan ketua pasukan Mohd. Marzuki Yusof yang dilayangkan kad merah pada
minit ke-18 menyebabkan Terengganu pincang sehingga tunduk 0-3 kepada Johor FC.
Johor FC mengambil kesempatan
menguasai permainan dan menghasilkan jaringan menerusi Eddy Helmi Abdul Manan
(m-60), Mohd. Nurul Azwan Roya (m-76) dan Mohd. Syaiful Sabtu (m-80).
Dalam dua lagi perlawanan, KL
PLUS membenam pasukan tercorot Polis 3-1 di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala
Lumpur dan pasukan pelawat KM NAZA menang 4-3 ke atas UPB MyTeam di Stadium
MBPJ, Kelana Jaya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Y2cK5BIW
© Utusan Melayu (M) Bhd