ARKIB : 09/03/2009
Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
hafiz.aziz@utusan.com.my
SHAH ALAM - Musim ini, pasukan Selangor begitu
mengujakan, malah berpotensi besar untuk menjulang kejuaraan bola sepak Liga
Malaysia.
Sesudah membenam Kelantan 3-0 dalam kancah Liga
Super sebelum ini, Red Giants pintar menjinakkan skuad Seladang 2-0 untuk
mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA.
Lawannya pada separuh akhir ialah pasukan Singa
Utara yang ternyata bukan tandingan Harimau Muda apabila tewas dengan agregat
1-0.
Jurulatih Selangor, K. Devan ketika ditemui
berkata, beliau menjangkakan perlawanan sengit pada pertemuan separuh akhir
nanti.
''Saya tidak menolak Perlis sebuah pasukan yang
begitu berkualiti dan mereka begitu berpengalaman. Saya pasti mereka sudah
tentu bersedia menentang Red Giants nanti.
''Saya menjangkakan permainan pasti sengit
kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri dan pasti penonton
tidak mampu menjangka awal keputusan itu,
Devan yang serius dengan pandangan itu
memberitahu, peluang untuk menang seterusnya mara ke peringkat akhir adalah
50-50.
''Saya tidak berani jamin tetapi Selangor sudah
bersedia dan yakin mampu untuk bersaing dengan Singa Utara,'' katanya ketika
ditemui selepas perlawanan menentang Perak, kelmarin.
Ditanya tentang persembahan malam kelmarin,
Devan menarik senyuman, malah ternyata berpuas hati dengan persembahan yang
ditunjukkan anak-anak buahnya.
''Saya anggap ia satu penyudah yang baik kerana
gol dijaringkan pada peringkat akhir.
''Prestasi pemain begitu baik dan konsisten
walaupun pertahanan lawan sukar untuk dibolos dan saya harap pemain-pemain akan
meningkatkan usaha.
Pada perlawanan, kelmarin, tandukan C. Premnath
dan Rudie Ramli memastikan Selangor melangkah dengan agregat 4-1 setelah turut
menumpaskan Seladang 2-1 dalam pertemuan pertama di Ipoh, Selasa lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz54eCkhSR2
© Utusan Melayu (M) Bhd