Ahad, 10 Disember 2017

Irfan turun padang cari muka baru

ARKIB : 08/10/2008
KUALA LUMPUR – Ketika pasukan lain sibuk memancing pemain untuk menghadapi musim baru Perlis juga tidak ketinggalan mengintai beberapa pemain bagi memperkasakan pasukan.

Jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pencarian pemain baru untuk menampung kekosongan yang ditinggalkan pemain import giat dijalankan walaupun Liga Super akan bermula Januari depan.

‘‘Saya sendiri turun padang dan berbincang dengan beberapa pemain yang sudah dikenalpasti mampu untuk memberi impak besar kepada pasukan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, beberapa pemain dari kelab yang berpangkalan di ibu negara menjadi buruan skuad Singa Utara untuk musim baru nanti, antaranya ialah tengah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd. Nizam Abu Bakar.

‘‘Ketika ini saya berada di Kuala Lumpur untuk berbincang dengan Nizam, jika tidak ada aral melintang dia akan membariskan skuad Perlis musim depan.

‘‘Saya juga akan berbincang dengan beberapa pemain dari pasukan berstatus kelab yang dilihat berpotensi untuk digandingkan dengan pemain muda Perlis,’’ kata Irfan.

Nizam sebelum ini pernah mendapat bimbingan Irfan ketika bersama pasukan Telekom Melaka dan beberapa kali dipanggil untuk menyertai latihan skuad kebangsaan.

Dalam pada itu, Perlis juga cuba untuk mencari penjaga gol baru selepas penjaga gol yang dipinjam dari Melaka, Zainal Rabin disambar oleh pasukan Felda United.

‘‘Kami masih lagi mencari penjaga gol baru dan berminat dengan penjaga gol dari sebuah pasukan berstatus kelab di pantai timur.

‘‘Selain itu kami juga akan mencuba beberapa pemain daripada pasukan lain termasuk dua orang dari Perak ketika bermulanya latihan minggu depan,’’ kata Irfan.

Tambah Irfan, beberapa tiga orang lagi pemain dari Piala Presiden akan menyertai skuad utama yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain muda.

‘‘Kita cuba untuk menerapkan pemain muda seperti mana yang dilakukan dengan jayanya oleh pasukan Kedah, tambahan pula dengan ketiadaan pemain import dapat memberi ruang kepada mereka untuk mempamerkan kebolehan masing-masing.

‘‘Tumpuan saya menjelang musim baru ini ialah memantapkan pasukan di setiap bahagian dan berharap enam lagi pemain baru menyertai kami,’’ katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz50rqTD13p

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan