ARKIB : 19/09/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKA
BAGI dua `awang' import Perlis,
Phillimon Chipita dan Limin Conteh Jr. mereka lebih senang menganggap kejayaan
pasukan Singa Utara sehingga mara ke separuh akhir Piala Malaysia sebagai satu
kejayaan bersama dan bukannya individu.
Chipeta bukan nama asing di
Perlis berikutan kejayaannya menggondol anugerah Kasut Emas 2003 selepas dia
menjaringkan 23 gol dalam saingan Liga Perdana Satu musim ini.
Conteh Jr. pula semakin berbisa
dengan sembilan jaringan dalam kempen Piala Malaysia, serta enam jaringan dalam
saingan liga.
Kedua-dua pemain ini mempunyai
keistimewaan tersendiri untuk membantu Perlis memenuhi impian mereka menjulang
Piala Malaysia.
Dua pemain dari benua Afrika itu
menyifatkan kehadiran mereka dalam skuad Perlis hanyalah sebagai inspirasi
kejayaan pasukan itu dan belum layak bergelar `wira'.
``Saya dan Chipeta sudah bersedia
untuk menghadpi cabaran berikutnya,'' kata Conteh menjelang perlawanan separuh
akhir pertama Perlis menentang MPPJ di Stadium MPPJ esok.
Kedua-duanya tidak gentar dengan
kehebatan dua pemain import MPPJ, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto
dari Argentina.
Seperti Chipeta dan Conteh,
kedua-dua pemain Argentina itu juga menjadi tunjang kejayaan MPPJ, yang melakar
sejarah menjadi pasukan kelab pertama layak ke separuh akhir Piala Malaysia.
Conteh Jr. merupakan bekas ketua
pasukan kebangsaan Sierra Leone. Dia dilahirkan pada 17 Januari 1976 dan pernah
mewakili kelab Al-Wahda di Amiriah Arab Bersatu (UAE) selama empat tahun.
Pemain tengah Perlis itu yang
mesra dengan panggilan `Junior' percaya bahawa semangat berpasukan menjadi
petua yang perlu diamalkan untuk memperoleh keputusan terbaik.
``Kejayaan Perlis mencipta
kejayaan bukannya datang daripada saya dan Chipeta sahaja. Sembilan lagi pemain
lain turut menyumbang kejayaan Perlis.
``Tidak ada gunanya sesebuah
pasukan memiliki dua atau lebih pemain yang hebat tetapi gagal me-nunjukkan
aksi yang baik.
``Saya tidak menganggap bahawa
hanya kami yang menjadi faktor kejayaan Perlis,'' kata Conteh.
Selepas pertemuan pertama di
Petaling Jaya, esok kedua-dua pasukan akan kembali beraksi untuk separuh akhir
kedua di Kangar pada 27 September depan.
Sementara itu, Chipeta berkata,
sungguhpun tidak gentar untuk bertemu dengan MPPJ, dia dan Junior tetap
menghormati pasukan itu yang pernah mengecewakan dua pasukan negeri - Pahang
dan Pulau Pinang pada saingan peringkat kumpulan suku akhir.
``Saya dan Junior mahu para
pemain menganggap kejayaan ini adalah kejayaan bersama. Kami mahu bersama-sama
membuktikan bahawa Perlis mampu pergi lebih jauh sehingga ke babak akhir,''
katanya lagi.
Sungguhpun MPPJ Selangor
berbangga dengan dua bintang import berbisa dari Argentina, lawan mereka Perlis
lebih selesa mengambil sikap merendah diri biarpun memiliki Phillimon Chipeta
dan Lamin Conteh Jr. untuk menggempur kubu MPPJ menjelang pertemuan separuh
akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.
Juan Manuel Arostegui dan Bruno
Martelotto kini diberi publisiti meluas sejak membantu MPPJ layak ke separuh
akhir, sekaligus menenggelamkan nama Chipeta dan Conteh Jr. yang sebelum ini
sering mengganas di persada bola sepak tempatan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dZNOD8Jk
© Utusan Melayu (M) BhdS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan