Ahad, 2 April 2017

Perlis hampiri pendahulu Perdana Satu



ARKIB : 06/07/2003

LAMIN CONTEH JR. menjaringkan dua gol untuk membantu Perlis menumpaskan Melaka 4-1 di Stadium Utama, Kangar semalam sekali gus menghampiri pendahulu bola sepak Liga Perdana Satu, Perak.

Penyerang dari Liberia itu membalas harapan penyokong tuan rumah dengan mencipta jaringan pada minit ketiga dan 75. Dua lagi gol disumbangkan masing-masing oleh bekas pemain kebangsaan, Che Zambil Ahmad pada minit ke-41 dan Phillimon Chiepeta minit 61.

Melaka hanya mampu membalas seminit sebelum permainan tamat menerusi Mohamad Sufian Shamsubari.

Kemenangan itu membolehkan Perlis merampas tangga kedua yang sebelumnya diduduki oleh Kedah. Mereka kini mengumpul 38 mata, hanya tiga mata di belakang Perak yang tidak bermain semalam, dan tiga mata di depan Kedah yang tumpas 2-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Fatrurazi Rozi muncul hero Kelantan apabila menjaringkan kedua-dua gol pasukannya, minit ke-15 dan 54 manakala Amirul Nizam Mahadzir membalas buat Kedah pada minit ke-43.

Sementara itu, maruah juara terbanyak Piala Malaysia, Selangor semakin tercalar apabila tumpas 3-1 kepada penghuni tangga terbawah liga, Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mohd. Norisham Ali Hassan muncul wira skuad Penyu apabila menjaringkan gol pada minit ke-19 dan 69 manakala Tengku Mohd. Adam Tengku Rosli mengukuh kedudukan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-28 sebelum Rudie Ramli menjaringkan gol sagu hati pasukan pelawat, minit 87.

Stadium Likas, Kota Kinabalu pula menyaksikan tuan rumah, Sabah terus ampuh apabila menundukkan Johor FC 3-1 pada perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat.

Malah, skuad Badak hanya memerlukan dua minit usia perlawanan untuk menjaringkan gol pertama menerusi percubaan Robert Gasper sebelum kedudukan mereka tambah selesa pada minit ke-69 apabila sentuhan Rezuan Khan Aman pula menepati sasaran.

Johor FC cuba memberikan saingan setelah Azmi Mohamad merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-71 tetapi kebangkitan pasukan pelawat ditamatkan oleh percubaan Josiah Seton 10 minit sebelum tamat permainan.

Pahang turut gagah di gelanggang sendiri apabila menundukkan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Skuad Tok Gajah hanya memerlukan tempoh kurang 10 minit untuk mencipta gol kemenangan apabila Cristiano Pinheiro da Silva meletakkan skuad Tok Gajah di depan pada minit ketiga sebelum Azizul Kamaluddin menambah gol kedua lima minit kemudian. Pulau Pinang membalas menerusi Chow Chee Weng pada minit ke-18.

Telekom Melaka pula memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-90 untuk mengikat Sarawak dengan keputusan 2-2 di Stadium Hang Tuah, Melaka - terima kasih kepada Nazzab Hidzan.

Skuad tuan rumah dua kali ketinggalan apabila Wong Sai Kong menjaringkan gol seawal minit kedua manakala Gilbert Cassidy Gawing meletakkan mereka mendahului sekali lagi pada minit ke-69.

Jaringan pertama Sarawak diimbangi oleh percubaan tepat Isaac Kuffour pada minit ketujuh sebelum Nazzab melegakan Telekom dengan jaringan penyamaan kali kedua pada minit terakhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d58kPMsH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan