ARKIB : 24/09/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
SINGA Utara tidak menganggap
mereka telah tersingkir daripada saingan merebut dua tempat ke perlawanan akhir
Piala Malaysia 2003 meskipun lawan mereka, MPPJ Selangor kini berbekalkan
kelebihan dua gol.
Sebaliknya, pengurus pasukan Perlis,
Adzmi Saad berkata, perlawanan masih berbaki 90 minit di Stadium Utama Kangar,
Sabtu ini dan Perlis tidak akan menyerah kalah begitu mudah kepada skuad MPPJ
yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh.
``Sungguhpun MPPJ selesa dengan
kelebihan dua gol, ini tidak bermakna perjuangan Perlis telah selesai kerana
perlawanan Sabtu ini yang bakal menentukan dua pasukan yang layak ke akhir,''
katanya kepada Sukan Utusan di Kangar, semalam.
MPPJ menewaskan Perlis 3-1 dalam
pertemuan separuh akhir pertama di Stadium MPPJ Petaling Jaya Sabtu lalu.
Gol-gol MPPJ dijaringkan oleh dua
penyerang import mereka, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto serta Aiman
Firdaus Tan Abdullah.
Gol tunggal Perlis dihasilkan
oleh penyerang import mereka dari Zambia, Philimon Chipeta.
Adzmi berkata, situasi yang sama
pernah berlaku dalam separuh akhir Piala FA 2003 pada bulan Mei lalu apabila
mereka ketinggalan dengan agregat 1-0 kepada Johor FC di tempat sendiri.
``Perlis akhirnya layak ke
perlawanan akhir setelah menewaskan Johor FC dalam perlawanan kedua dengan
mencatat agregat 4-3 biar pun kami bermain di tempat lawan,'' katanya.
Hakikat itu menurut Adzmi, bukan
bermakna Perlis bermegah dan yakin dapat menundukkan MPPJ dalam perlawanan
Sabtu ini, namun semangat Perlis yang mampu bangkit pada babak-babak terakhir
tidak mustahil boleh berulang.
``Itulah bola sepak dan
macam-macam boleh berlaku. Selain mengharapkan keajaiban berlaku, usaha Perlis
perlu dilipat gandakan menjelang pertemuan penting Sabtu ini,'' tegasnya.
Kesemua pemain utama Perlis
katanya, tidak menghadapi masalah untuk diturunkan dalam perlawanan hujung
minggu ini selain Singa Utara mendapat semula khidmat pemain pertahanannya, Adrien
Jurad Chamrong yang digantung satu perlawanan setelah menerima kad kuning
ketiga.
``Matlamat Perlis hanya satu pada
perlawanan Sabtu ini, iaitu perlu menewaskan MPPJ dengan kelebihan dua gol.
Kalah bererti pintu ke final sudah tertutup untuk Singa Utara,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dZtkeD7W
© Utusan Melayu (M) BhdS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan