ARKIB : 28/05/2007
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR Saingan Piala
Malaysia kian sampai ke kemuncak selepas lapan pasukan mengesahkan tempat ke
suku akhir apabila mengharungi saingan paling getir perlawanan terakhir
peringkat kumpulan Sabtu lepas.
Buat penyandang juara, Perlis
jelas bernasib baik apabila melangkah ke suku akhir dan wajar mengucapkan
terima kasih kepada Selangor yang menewaskan Telekom Melaka (TMFC) 3-2.
Biarpun Perlis menewaskan Johor
FC 4-1 tetapi jika TMFC menang ke atas Selangor, peluang skuad Singa Utara
pasti tersisih.
Begitu juga dengan Terengganu
tunduk 2-0 kepada Melaka ketika mereka begitu inginkan kemenangan tetapi lega
mara ke suku akhir berdasarkan kedudukan terbaik tangga ketiga.
Seperti yang diramalkan
Selangor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan Naza sudah dijangka akan meloloskan
diri untuk berada dalam kelompok lapan pasukan.
Bagaimanapun, menjelang saingan
suku akhir pertama pada 9 Jun ini manakala saingan kedua pada 16 Jun ini
menyaksikan juara musim lalu, Perlis merintis laluan paling sukar apabila
dijadualkan bertemu Perak.
Pertemuan dua gergasi yang
dinantikan oleh peminat kedua-dua pasukan dengan reputasi terkini Perak sukar diramalkan
begitu juga dengan Perlis.
Kekuatan kedua-dua pasukan
berdasarkan ketajaman di bahagian serangan Perak kerana adanya Keita Mandjou
dan Traore Abdulaye manakala Perlis miliki Philimon Chepita dan Zachariah
Simukonda.
Pertembungan yang cukup mencuri
perhatian adalah pertemuan naib juara tahun lalu, Negeri Sembilan Naza berdepan
Terengganu.
Namun, keupayaan kedua-dua
pasukan di saingan Liga Super tampak kurang menyakinkan ketika prestasi
masing-masing sukar dijangkakan.
Kekalahan Terengganu 0-2 kepada
Melaka menjelaskan betapa keupayaan skuad dari Pantai Timur itu kian rapuh.
Turut menjadi tumpuan ialah
pertemuan Selangor dan Sabah.
Selangor yang tersisih di
peringkat suku akhir musim lalu, pastinya mahu menebus kekecewaan itu dan
merampas kembali kejuaraan yang menjadi milik skuad Merah Kuning pada musim
kegemilangan 2005.
Sabah yang dua kali dikecewakan
untuk bergelar juara setelah tunduk kepada Selangor 0-1 pada 2002 dan MPPJ
dengan keputusan 0-3 pada 2003, sedar tugas berat buat mereka.
Laluan paling mudah dirintis
oleh Kedah yang dijadualkan berdepan Melaka.
Berdasarkan reputasi terkini,
skuad Kedah selaku pendahulu Liga Super keupayaan mereka tidak dinafikan untuk
mengetepikan saingan Melaka.
Atas kertas kelebihan jelas
milik Kedah berbanding Melaka namun skuad dari negeri Hang Tuah itu boleh
dianggap sebagai `underdog.
Seperti mana mereka menewaskan
Terengganu 2-0, Kedah seharusnya mengambil perhatian tidak menganggap tugas
mudah ke atas Melaka.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4u7ix6wEe
© Utusan Melayu (M) Bhd