Sabtu, 9 September 2017

Perlis garang di awal saingan



ARKIB : 18/12/2006

KUALA LUMPUR – Perlis terus menjadi tumpuan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi tiga lagi kejuaraan iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super setelah ditabalkan sebagai juara Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Utama, kelmarin, lapor AMRAN MULUP.

Gelaran sulung juara Piala Malaysia musim lalu itu membenam kehebatan juara Piala FA, Pahang membuktikan skuad Singa Utara adalah pasukan yang perlu diberikan perhatian dalam saingan Liga Super musim 2006/2007.

Dua gol menerusi Azlan Ismail pada minit ke-15 dan ketua pasukan, Mohd. Fauzi Nan (m-50) memberikan kemenangan bermakna buat Perlis untuk dilabelkan pasukan pilihan merangkul tiga gelaran dalam semusim.

Masih terlalu awal untuk memperkatakan kehebatan Perlis mengharungi kempen musim ini biarpun mengekalkan dua permata hitam Philimon Chepita dan Zachariah Simukonda namun kehadiran mereka tetap menggerunkan lawan.

Begitupun buat Pahang yang tidak menggunakan khidmat pemain import, kekalahan kepada Perlis masih belum merentap semangat barisan muka baru dalam kempen ini.

Ketika Perlis mengukir senyum, jiran mereka Kedah tersentak memulakan kempen pertama Liga Super apabila tunduk kepada Brunei DPMM FC 2-1.

Kelebihan Kedah bermain di penyokong sendiri bukan menjadi penghalang buat wakil Brunei itu mencipta kejutan buat meraih tiga mata berharga.

Kempen pembuka tirai Liga Super musim baru turut menceriakan Selangor tanpa pemain import dan menyandarkan harapan kepada barisan muda tetapi mampu mengukir kemenangan sulung menewaskan Melaka 1-0 di Stadium Shah Alam.

Langkah cemerlang buat skuad bimbingan Dollah Salleh belum benar-benar teruji hanya gol tunggal jaringan Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-76 suadh cukup melegakan.

Turut merintis kemenangan mengutip tiga mata berharga memihak kepada Perak apabila memahatkan kemenangan 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Perak.

Dua tonggak utama Keita Mandjou dan Troare Abdoulaye merealitikam impian kemenangan mudah ke atas Sarawak membuktikan betapa Perak tidak lagi rela kempunan untuk menjulang salah satu daripada tiga gelaran musim ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4sFwCssr5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan