ARKIB : 17/12/2006
Barisan pemain dan pegawai
pasukan Perlis bergembira dengan trofi Piala Sultan Ahmad Shah selepas
memenangi perlawanan Sumbangsih menewaskan Pahang 2-1 di Stadium Utama, Kangar,
malam tadi.
KUALA LUMPUR - Juara Piala
Malaysia musim lalu, Perlis dinobatkan selaku juara perlawanan Sumbangsih dan mendakap
Piala Sultan Ahmad Shah apabila menewaskan juara Piala FA, Pahang 2-1 dalam
aksi pembuka tirai kempen Liga Super musim 2006/ 2007.
Kemenangan buat Perlis menebus
kehampaan mereka apabila dikecewakan oleh Perak pada perlawanan pembuka tirai
musim 2005/2006.
Di hadapan Raja Perlis, Tuanku
Syed Sirajuddin Tuaku Syed Putra Jamalullail, skuad Singa Utara beraksi
cemerlang apabila membuka jaringan menerusi Azlan Ismail pada minit ke-14.
Gol dihasilkan daripada
hantaran Mohd. Hardi Ahmad tepat ke arah Azlan yang membuat rembatan leret
menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi.
Kedudukan skuad Singa Utara
terus kukuh apabila gol kedua dicipta minit ke-50 menerusi ketua pasukan Mohd.
Fauzi Nan.
Jaringan tercipta apabila
berlaku keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Pahang dan Mohd. Fauzi terus
merembat masuk.
Pahang bangkit merapatkan
jurang menerusi pemain gantian Mohd. Rashid Mamud pada minit ke-59.
Berlaku sedikit kekecohan pada
minit-minit terakhir perlawanan hendak ditamatkan apabila pengadil membatalkan
gol penyamaan Pahang.
Selain meraih Piala Sultan
Ahmad Shah, kemenangan Perlis turut diserikan apabila ketua pasukannya, Mohd.
Fauzi dianugerahkan Pemain Terbaik perlawanan tersebut.
Di Stadium Perak, juara Piala
Sumbangsih musim 2005/2006, Perak berjaya mengutip tiga mata penuh apabila
menewaskan Sarawak 2-1.
Gol Perak dijaringkan oleh
Keita Mandjou pada minit ke-35 dan Trarore Abdoulaye pula di minit ke-72
manakala gol tunggal Sarawak dijaringkan oleh Zulmizan Bujang pada minit ke-56.
Di Stadium Shah Alam, tanpa
bintang import Selangor berupaya mencipta kemenangan sulung apabila menewaskan
Melaka 1-0.
Gol tunggal jaringan bekas
pemain kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-76 sudah cukup memastikan
skuad Merah Kuning mengutip tiga mata berharga.
Di Stadium Bandaraya, Pulau
Pinang gagal menggunakan kesempatan bermain di tempat sendiri apabila sekadar
seri 0-0 bertemu Telekom Melaka.
Di Stadium Pasir Gudang, tuan
rumah Johor FC hanya mampu seri 0-0 bertemu naib juara Piala Malaysia musim
lalu NS Naza.
Di Stadium Darulaman, wakil
Brunei DPMM FC berjaya mengalahkan Kedah 2-1.
DPMM FC membuka tirai jaringan
pertama menerusi Hardi Anak Buang pada minit ke-50 namun Kedah bangkit
bertindak cemerlang untuk mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Shafiq Jamal
pada minit ke-78.
Bagaimanapun dua minit sebelum
tamat DPMM FC berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi Fadlin Galawat untuk
mengutip tiga mata penuh.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sFrxMEfB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan