Sabtu, 16 September 2017

Perlis mampu kukuh cengkaman -- Saingan Piala Malaysia



ARKIB : 17/02/2007

KUALA LUMPUR – Skuad Singa Utara yang terus unggul berada di persada teratas Liga Super, mampu menambah sengatan mereka untuk mempertahankan semula kejuaraan Piala Malaysia yang mereka menangi musim lalu.

Kempen Piala Malaysia perlawanan kedua berlangsung malam ini menyaksikan Perlis berdepan pasukan berstatus kelab, PBT Pasir Gudang di tempat sendiri, adalah peluang terbaik untuk menang dan mengukuhkan kedudukan mereka menerajui Kumpulan A.

Segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Johor FC dalam saingan Liga Super Rabu lepas, reputasi Perlis tidak dapat disangkal untuk menjinakkan wakil kelab dari Johor itu.

Atas kertas Perlis dijangka mudah mengutip kemenangan kedua mereka dalam kempen Piala Malaysia selepas membuka perlawanan pertama menewaskan Melaka 2-0.

Musuh utama Selangor yang tersentak apabila tewas 2-0 kepada Kedah Rabu lalu dalam kempen Liga Super, berpeluang menebus kekalahan itu berdepan Kuala Lumpur.

Jurulatih skuad Merah Kuning, Dollah Salleh pastinya memikirkan untuk menurunkan barisan terbaik untuk memburu kemenangan kedua ke atas jirannya Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam malam ini.

Sentuhan Fadzli Saari menjadi pertaruhan utama Dollah menyaksikan bekas pemain Pahang itu meledakkan dua jaringan membantu Selangor menewaskan Pasir Gudang 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan A.

Perlawanan yang turut menjadi tumpuan apabila Telekom Melaka berdepan Johor FC di Stadium Jcorp.

Saingan dalam Kumpulan B dianggap lebih terbuka dan tumpuan pasti kepada Terengganu yang akan melayani kunjungan Pulau Pinang di tempat sendiri.

Terengganu yang kini menduduki tangga kedua dalam Liga Super berpeluang menjinakkan Pulau Pinang dengan prestasi semasa lawan kini terumbang-ambing.

Negeri Sembilan Naza yang tersentak kekalahan teruk 5-1 kepada Brunei Rabu lepas, perlu menewaskan Melaka jika ingin mengembalikan semula kekuatan mereka.

Kekuatan Melaka tidaklah sehebat yang dijangkakan jika melihat aksi mereka dalam saingan liga namun mereka juga mampu melakar kejutan sebagaimana Brunei.

Sementara itu, saingan lebih getir turut melanda Kumpulan C sambil melihat Kedah dan Sabah dalam perlawanan pertama mengutip tiga mata berharga untuk berada di tangga teratas kumpulan tersebut.

Kedah dengan prestasi mantap mudah menjinakkan Selangor 2-0 dua hari lepas, berdepan ujian getir berdepan Pahang di Stadium Darul Aman.

Pahang pastinya turun tanpa penyerang utama Indra Putra Mahayuddin.

Begitu juga dengan Perak dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Sabah, perlu bangkit menebus kehampaan tersebut dan mesti menewaskan PDRM pendahulu Liga Perdana jika inign terus bersaing mencabar kedudukan Kedah dan Sabah.

Sabah dengan prestasi tidak menentu dalam Liga Perdana berdepan tugas mudah bertemu pasukan tercorot Liga Super, Sarawak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sraP8ca8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan