Isnin, 11 September 2017

Perlis kukuh di persada Liga Super



 
ARKIB : 04/01/2007
PENYERANG Perlis, Phillimon Chipeta (kanan) menggelecek pemain Negeri Sembilan, Tengku Qayyum Ubaidillah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam. Perlis menang 3-0. – Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

KUALA LUMPUR – Perlis mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Super selepas membenamkan Negeri Sembilan 3-0 dalam perlawanan yang disifatkan ulangan akhir Piala Malaysia di Stadium Utama Negeri Kangar, semalam.

Bermain penuh semangat, Perlis hanya memerlukan masa 20 saat selepas wisel permulaan dibunyikan untuk membuka jaringan.

Azlan Ismail menjaringkan gol pertama pasukannya yang sekaligus menyentap semangat Negeri Sembilan untuk terus memberikan saingan.

Ini menyaksikan pasukan pelawat terus tenggelam di babak kedua apabila tuan rumah menambah dua lagi jaringan menerusi Philimon Chipieta pada minit ke-68 dan Faisal Esahar minit ke-84.

Dengan kemenangan itu, Perlis kini memungut 13 mata daripada lima perlawanan manakala Terengganu mengekori rapat di tangga kedua dengan 10 mata daripada empat perlawanan.

Terengganu turut mencatat kemenangan semalam dengan menewaskan Pulau Pinang 1-0 dalam perlawanan di Stadium Bandaraya.

Beraksi di tempat lawan ternyata tidak menggusarkan Terengganu yang memperoleh gol tunggal menerusi Abd. Manaf Mamat pada minit ke-79.

Selangor pula kembali bangkit daripada kekalahan kepada Negeri Sembilan minggu lalu dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Shah Alam untuk melonjak ke tangga ketiga liga.

Razman Roslan membuka jaringan buat Selangor pada minit ke-55 tetapi Zamri Murshidi menyamakan kedudukan buat Sarawak lapan minit kemudian.

Tetapi Amri Yahyah muncul wira Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-83 untuk menghadiahkan pasukannya tiga mata penting.

Pahang yang dipintas Selangor jatuh ke tangga keempat selepas hanya mampu seri 1-1 dengan DPMM Brunei di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Walaupun berjaya mendahului seawal minit keenam menerusi Rashid Mahmud tetapi kelebihan itu dinafikan Brunei dengan gol penyamaan menerusi pemain import mereka, Vivan Francis pada minit ke-47.

Di Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah menggunakan kelebihan sepenuhnya beraksi di gelanggang sendiri dengan membenam cabaran Perak 4-3.

Di sebalik perlawanan sengit dan tegang itu, dua kad merah dilayangkan pengadil ke atas penjaga gol kedua-dua pasukan kerana mengasari pemain lawan.

Gol-gol Kedah dijaringkan K. Soley (m-27), Marlon Alex James (m-39, 88) dan Badrul Bakhtiar (m-55) manakala gol Perak dijaringkan Daniel Fadly (m-61) dan Keita Mandjou (m-76, 90).

Melaka yang baru hilang jurulatih terus menghuni tempat tercorot liga, itun pun selepas bernasib baik untuk mencatat keputusan seri 2-2 dengan Telekom Melaka di Stadium Hang Jebat.

Selepas dua kali ketinggalan kepada Telekom yang memperoleh gol menerusi Nazab Hidzan (m-2) dan K. Rajan (m-69), Melaka bangkit dengan gol penyamaan menerusi Richard Privitzer (m-65) dan Jaya Prakash (m-83) untuk memungut mata pertama mereka musim ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sMj13is1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan