Khamis, 21 September 2017

Satu lagi rekod Perlis lebur



 
ARKIB : 25/02/2007
SAYAP kiri Sarawak, Mohd. Shahrol Saperi melompat apabila diasak pemain PDRM, Talfizm Taufik (24) dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sarawak, semalam. – Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.

KUALA LUMPUR – Selangor menjadi pasukan kedua yang meranapkan rekod tanpa kalah Perlis dalam tempoh tiga hari, kali ini pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Jaringan penyerang Amri Yahyah pada minit ke-65 memadai untuk mengekalkan Selangor sebagai teraju Kumpulan A dengan kemenangan ketiga selepas mengumpul sembilan mata.

Inilah kekalahan kedua Singa Utara yang juga juara bertahan Piala Malaysia setelah dibenam pasukan tetangga, Kedah dalam Liga Super, Rabu lalu sejak Liga Malaysia bermula 16 Disember lalu.

Telekom pula yang baru dilatih Wan Jamak Wan Hassan, memperbaiki kedudukannya dalam Kumpulan A dengan mengatasi Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Petaling Jaya.

Pertemuan ‘dua bersaudara’ di Johor Bahru pula menyaksikan Johor-Pasir Gudang mencapai kemenangan pertamanya dalam Kumpulan A dengan mengejutkan Johor FC 2-0.

Gol Johor-Pasir Gudang dijaringkan oleh Tembo Masauso pada minit ke-15 dan Hamzani Omar, seminit sebelum perlawanan berakhir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang terus menghuni tangga tercorot Kumpulan B apabila kalah 2-1 kepada Melaka biarpun mendahului menerusi M. Prakash pada minit ke-16.

Shahril Arsat menyamakan kedudukan Melaka pada minit ke-45 sebelum Richard Privitver memastikan mereka kekal menerajui kumpulan dengan gol kemenangan pada minit ke-76.

Terengganu pula terus menghambat Melaka dengan menewaskan Angkatan Tentera 2-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B di Stadium TLDM, Lumut.

Perlawanan Kumpulan B antara Negeri Sembilan dengan Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi terpaksa ditunda ke 5 petang ini kerana hujan lebat.

Salvester Sindih memastikan Sabah kekal di tangga teratas Kumpulan C dengan jaringan penyamaan minit terakhir yang mengikat Kedah 1-1 di Stadium Darulaman, Alor Star.

Pelawat mulanya ketinggalan dengan gol pemain Kedah, Roshaidi Wahab pada minit ke-59. Kedua-dua pasukan kini terikat tujuh mata tetapi perbezaan gol masih menyebelahi Sabah.

R. Surendran menjaringkan dua gol pada minit ke-84 dan 89 sambil membantu Perak berpesta gol di Stadium Perak, Ipoh dengan membelasah Pahang 5-0 dalam perlawanan Kumpulan C.

Tiga lagi gol skuad Seladang dijaringkan oleh Keita Mandjou pada minit keempat, Ahmad Shahrul Azhar Sofian (38) dan Khalid Jamlus (75).

Sarawak masih gagal bangkit dari dasar Kumpulan C setelah kecundang 3-2 kepada Polis di Stadium Sarawak, Kuching. Faturazi Rosli memastikan kemenangan sulung Polis itu ketika empat minit terakhir.

Joseph Kallang dan Zambery Zainal cuba menyelamatkan tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-74 dan 77 setelah ketinggalan hasil jaringan John Mawalwa dan Badri Radzi (51 dan 56).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tKcjdOU9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan