ARKIB : 15/02/2007
Penyerang Perlis, Francis Kombe
(kiri) berjaya melepasi dua pemain Johor, Wan Rohaimi Wan Ismail (tengah) dan
Khairul Khalid Masrom dalam saingan Liga Super di Stadium Utama Kangar, malam
tadi. Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.
KUALA LUMPUR Azlan Ismail muncul
hero apabila jaringannya membantu Perlis menewaskan Johor FC 2-1 dalam
perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Utama Kangar, semalam.
Kemenangan itu memastikan
Perlis masih kekal selaku pendahulu Liga Super apabila memungut 20 mata
daripada lapan perlawanan.
Azlan tampil dengan jaringan
menarik lima minit sebelum tamat ketika kedudukan buat kedua-dua pasukan
terikat 1-1.
Skuad Singa Utara meledakkan
jaringan pembukaan menerusi Francis Kombe pada minit ke-45 sebelum pemain Johor
FC, Walter Ariel Silva menyamakan kedudukan pada minit ke-55.
Di Stadium Darul Makmur, bekas
penyerang kebangsaan Muhammad Khalid Jamlus menemui kembali sentuhan jaringan
apabila dua jaringannya membantu Perak menewaskan Pahang 2-1.
Selepas ketandusan jaringan
dalam beberapa perlawanan Liga Super, Muhamad Khalid meledakkan dua jaringan
pada minit ke-45 dan 66 yang sudah cukup menjamin tiga mata penuh Perak.
Gol saguhati tuan rumah
dijaringkan oleh Mohamad Kamal Rodiarjat seawal minit ke-10.
Di Stadium Hang Jebat,
Terengganu bertindak cemerlang apabila mudah menewaskan Melaka 3-1.
Dikejutkan gol awal Melaka pada
minit ke-54 menerusi Padrick Volf, Terengganu tangkas bangkit memadamkan
kelebihan tersebut.
Pada minit ke-59, Md. Ashaari
Sharuddin mengikat kedudukan 1-1 sebelum dua gol lagi disumbangkan oleh Sharlei
Lins Miranda (m-67) dan Md. Nor Farhan (m-70).
Di Stadium Shah Alam, Selangor
mengalami kekalahan keempat musim ini apabila tunduk 2-0 kepada Kedah.
Kehadiran ketua pasukan
Muhammad Shukor Adan dan Fadzli Saari tidak mampu mengekang Kedah daripada
pulang membawa tiga mata penuh.
Ahmad Fauzi Saari meletakan
Kedah di depan menerusi jaringan menarik seawal minit ke-10 sebelum Hasmawi
Hassan mengukuhkan kedudukan dengan jaringannya pada minit ke-76.
Di Stadium MBPJ Kelana Jaya,
Telekom Melaka berjaya mengukir kemenangan manis apabila menewaskan pasukan
tercorot Sarawak 2-1.
Bagaimanapun, Sarawak
mengejutkan tuan rumah Telekom Melaka dengan jaringan awal pada minit ke-19
menerusi Joseph Kallang namun Badrul Azam Zamri tangkas menyamakan kedudukan
1-1 menerusi jaringan pada minit ke-45.
Giliran Telekom Melaka berada
di depan apabila ketua pasukan Mohd. Hardi Jaafar menyempurnakan sepakan
penalti pada minit ke-71 untuk membolehkan tuan rumah mendahului 2-1.
Di Stadium Negara Hasanal
Bolkiah, Brunei terus mengukuhkan kedudukan untuk mencabar Perlis apabila
membelasah Negeri Sembilan 5-1.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4srRXEA92
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan