ARKIB : 12/11/2005
KANGAR - Pertikaman lidah
antara tonggak utama Perlis, Yusri Che Lah dan Mohd. Kaironnisam Shahabuddin
Hussain dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) terus hangat apabila Naib
Presiden persatuan itu, Adzmi Saad menganggap kedua-dua pemain itu `tidak
cerdik' dalam soal jual beli pemain.
Menurut pengurus pasukan Singa
Utara itu, tuntutan pampasan yang dibuat oleh PFA terhadap Majlis Perbandaran
Petaling Jaya (MPPJ) merupakan amalan biasa dalam mana-mana pasukan termasuk
kelab bola sepak antarabangsa.
``Janganlah tunjukkan sikap
yang kurang bijak dalam soal ini apatah lagi sebagai pemain yang berpengalaman.
Tidak ada siapa pun sebenarnya mahu musnahkan karier bola sepak mereka (Yusri
dan Mohd. Kaironnisam).
``Soal tuntutan pampasan itu
adalah antara PFA dengan MPPJ dan kita tidak minta sesen pun daripada Yusri,''
katanya kepada Utusan Sukan ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas kekecewaan
Yusri dan Mohd. Kaironnisam terhadap sikap PFA yang menetapkan bayaran pampasan
antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk memberi pelepasan kepada mereka
menyertai MPPJ bagi musim depan.
Menurut mereka, tuntutan
pampasan itu seolah-olah mahu menamatkan kariernya dalam sukan bola sepak
kerana dilihat sebagai penghalang untuk berhijrah.
Adzmi seterusnya menegaskan,
kedua-dua pemain terbabit tidak sepatutnya menganggap tuntutan pampasan itu
sebagai penghalang memandangkan mereka akan turut mendapat komisen daripada
bayaran tersebut.
``Mereka akan menerima sebanyak
10 peratus daripada jumlah pampasan dan lebih tinggi bayaran pampasan, lebih
tinggi pula yang bakal mereka terima,'' tegasnya.
Tuntutan pampasan itu juga,
jelas beliau, dianggap wajar memandangkan PFA telah melabur dengan nilai yang
tinggi sepanjang kedua-dua pemain terbabit berkhidmat dengan Perlis.
Isu Perlis cuba memusnahkan
karier bola sepak Yusri dan Mohd. Kaironnisam tidak sepatutnya timbul apabila
kedua-dua pemain itu diberikan peranan yang besar ketika menyarung jersi Singa
Utara, ujarnya.
Menurut beliau, Yusri diberi
peranan sebagai penyerang utama manakala Mohd. Kaironnisam pula dilantik
sebagai ketua pasukan sekali gus melonjakkan nama mereka di persada bola sepak
tanah air.
``Kita tidak akan semudah itu
untuk melepaskan para pemain selepas kita menggilap bakat mereka dengan kos
yang tinggi,'' tegasnya.
Adzmi menambah, tuntutan
pampasan itu dibuat kepada MPPJ kerana kelab tersebut tidak pernah berunding
dengan PFA untuk mendapatkan khidmat pemain Perlis.
``Mereka hantar surat supaya
kita melepaskan mereka dan sebagai jawapan mudah, kita tuntut pampasan daripada
kelab itu,'' katanya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jEnEGQSf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan