Perlis selesa, Selangor perit
TONGGAK Selangor, Elie Aiboy
melepasi halangan pemain Pulau Pinang, Nordin Khamis dalam saingan suku akhir
pertama Piala Malaysia, malam tadi. Selangor menang 2-1. - Gambar MOHD NOOR
AMIN.
KUALA LUMPUR - Kecuali Telekom
Melaka, semua pasukan tuan rumah mencatat kemenangan dalam aksi suku akhir
pertama bola sepak Piala Malaysia dengan penyandang juara, Perlis menumbangkan
Pahang 3-1 di Kangar.
Selangor mendapat bekalan tipis
sebelum bertandang ke Kuantan untuk aksi suku akhir kedua selepas menang 2-1 ke
atas Pulau Pinang di Stadium Shah Alam dalam perlawanan yang menyaksikan
kedua-dua pasukan bermain sepuluh orang terutama Red Giants yang kehilangan
penjaga gol, Jamsari Sabian pada babak pertama.
Kedah menundukkan Terengganu
2-0 di Alor Setar manakala Telekom Melaka gagal bermain cemerlang di gelanggang
sendiri apabila tumpas 1-0 kepada Perak di Melaka.
Pemain import Selangor dari
Argentina, Brian Fuentes muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol Red
Giants pada minit ke-13 dan 72.
Begitupun, Selangor kehilangan
Jamsari pada penghujung babak pertama apabila dilayangkan kad merah kerana
menampan bola dengan tangan di luar kotak penalti ketika cuba menghalang
kemaraan Viatcheslav Melnikov.
Pasukan Dollah Salleh ketika
itu mendahului 1-0 hasil tolakan Fuentes di tepi gawang Pulau Pinang daripada
tendangan sudut D. Surendran.
Selangor kemudian terpaksa
bermain sepuluh orang pada 20 minit pertama babak kedua yang membolehkan Pulau
Pinang menyamakan kedudukan menerusi rembatan Dudu pada minit ke-56.
Begitupun, perlawanan kembali
seimbang apabila pemain Pulau Pinang, V. Jaganathan dilayangkan kad kuning
kedua dan terpaksa keluar padang kerana mengasari Mohd. Amri Yahyah.
Keadaan itu menaikkan kembali
semangat Selangor yang terus memburu jaringan dan Stadium Shah Alam kembali
gamat dengan sorakan penyokongnya apabila Fuentes menanduk masuk bola hantaran
lintang P. Gunalan minit ke-72.
Di Stadium Utama di Kangar,
Perlis mengekalkan rekod baik ke atas Pahang dan mendapat bekalan agak selesa sebelum
aksi suku akhir kedua selepas menang 3-1 dengan semua gol dijaringkan pada
babak pertama permainan.
Pemain Perlis, Philimon Chipeta
menjaringkan dua gol pertama Perlis pada minit kesembilan dan 30 tetapi Teafore
Bannet merapatkan kedudukan 2-1 untuk Pahang minit ke-40.
Begitupun sebelum waktu rehat,
seorang lagi import Perlis, Joao Bandosh melebarkan jaringan 3-1 dan kedudukan
itu kekal sehingga tamat permainan.
Di Stadium Darulaman, Alor
Setar, pemain kebangsaan, Liew Kit Kong menjaringkan kedua-dua gol Kedah yang
menundukkan Terengganu 2-0 untuk memberi skuad Kenari bekalan agak selesa ke
Kuala Terengganu.
Kit Kong menjaringkan gol pada
setiap babak permainan dengan gol pertama minit ke-15 dan gol kedua minit
ke-55.
Telekom Melaka yang mencipta
sejarah layak ke suku akhir Piala Malaysia kali pertama, gagal mengekalkan
rentak cemerlang itu apabila tumpas 1-0 kepada Perak dengan gol kemenangan
Seladang dijaringkan oleh Keita Mandjou minit ke-11 di Stadium Hang Tuah,
Melaka.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iwPHtz6Q
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan